'Itu bukan duit haram, tapi wang simpanan untuk renovasi rumah'

Iklan
Syed Saddiq

SHAH ALAM - Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan wang tunai lebih RM200,000 yang dilaporkan hilang di kediaman beliau adalah simpanan peribadi bersama ibu dan bapanya untuk tujuan renovasi rumah.

Beliau berkata, ibu dan bapanya juga telah membuat laporan polis berhubung kehilangan itu.

Iklan
Iklan

"Saya dan keluarga tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Malahan kami sendiri yang membuat laporan polis berkenaan kehilangan wang.

"Sekiranya benar duit itu duit haram, kenapa kami patut laporkan? RM90 ribu milik saya, RM50 ribu milik ibu saya dan RM70 ribu milik ayah saya.

Iklan

"Majoriti wang itu dikeluarkan bagi tujuan renovasi rumah yang kami miliki bersama. Selainnya adalah untuk tujuan peribadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Muar itu lagi, beliau sehingga hari ini masih tidak memiliki rumah.

Iklan

"Dengan itu saya, Abuyah dan mama mengambil ketetapan untuk membeli rumah bersama dan saya berhasrat ingin pindah ke rumah tersebut selepas siap renovasi.

"Rumah belum siap renovasi, peralatan elektronik dan perabot semua belum dibeli lagi," katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (bersatu) berkata, beliau mengambil maklum laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat dan sedia memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan SPRM.

Bagaimanapun ujarnya, pada masa masa beliau tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang memfitnahnya dan keluarga.

"Saya sudah mengarahkan pegawai saya untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan kepada mereka yang memfitnah saya dan keluarga dengan cubaan untuk mengaitkan kes ini dengan duit haram atau wanita yang dikatakan bersama saya.

"Ini adalah fitnah untuk menjatuhkan reputasi saya dan keluarga. Saya juga tidak akan berkompromi bab integriti dan saya akan memastikan diri serta keluarga saya memberi kerjasama penuh dalam membantu pihak polis serta SPRM.

"Saya harap semua pihak berhenti berspekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa membuat siasatan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN SPRM siasat pemilikan wang bekas menteri

Duit hilang RM250,000 bukan milik Bersatu: Syed Saddiq