MELAKA - Seorang pekerja kedai makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota tentera di Kem Terendak, Sungai Udang di sini minggu lepas.
Mohd Haiqal Hamdan, 25, didakwa telah cuba membunuh Alexson Anak Franky, 21, dengan melanggar menggunakan kereta jenis Proton Gen 2 warna merah hingga mangsa cedera paha kiri dan kanan yang mungkin menyebabkan kematian di hadapan pintu pengawal Kem Terendak, Sungai Udang di sini pada jam 4.30 petang, 23 Mac lepas.
Iklan
Iklan
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Lelaki itu turut didakwa gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diperiksa pegawai polis di Jalan Klebang Kecil di sini pada jam 3 petang, 24 Mac lalu mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan Mohd Haiqal diikat jamin RM8,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu ibunya perlu menjadi penjamin. Mahkamah menetapkan 18 Mei untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal manakala tertuduh diwakili Peguam, S S Amritpal Singh. - Bernama
Artikel Berkaitan