Malaysia kini dalam tempoh peralihan monsun

Iklan
Negara ketika ini sedang menghadapi tempoh peralihan monsun

KUALA LUMPUR - Negara ketika ini sedang menghadapi tempoh peralihan monsun, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon.

Menurutnya, ia bermaksud tempoh monsun timur laut sudah berakhir dan kini akan berubah ke monsun barat daya.

Iklan
Iklan

Jelasnya, ketika tempoh peralihan monsun tersebut, kebiasaannya cuaca agak panas sedikit dan negara akan mengalami ribut petir atau hujan lebat pada sebelah petang, terutamanya di negeri-negeri pantai barat.

"Bagaimanapun suhu tidaklah terlalu panas dan apa yang berlaku sekarang adalah keadaan biasa yang berlaku di negara ini semasa hujung bulan Mac dan awal April.

Iklan

"Sebagai contohnya, suhu maksimum terpanas di Lembah Klang dalam beberapa hari ini sekitar 34 darjah Celcius sahaja. Berdasarkan rekod kami, suhu maksimum di Lembah Klang hari ini cuma sekitar 34.6 darjah Celcius sahaja," katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, suhu tertinggi pernah direkodkan di Malaysia ialah 40.1 darjah Celcius, di Chuping, Perlis pada 9 April 1998 ketika fenomena El Nino.

Iklan

Bagaimanapun katanya, MetMalaysia tidak menjangka fenomena El Nino akan berlaku pada tahun ini.

Beliau berkata, suhu tertinggi direkodkan untuk tahun ini di Malaysia ialah di Sik, Kedah apabila mencapai 37.7 darjah Celcius semalam.

"Keadaan panas begini adalah keadaan yang biasa berlaku di utara Semenanjung pada penghujung Mac dan awal April.

"Kebiasaannya, keadaan agak panas ini akan mula berkurangan menjelang pertengahan April apabila jumlah hujan semakin banyak berlaku," jelasnya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan masyarakat terutama di utara Semenanjung supaya mengambil kesempatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di negara ketika ini untuk tidak keluar dari rumah kerana cuaca panas akan menyebabkan badan kekurangan air.

"Banyakkan minum air dan jimatkan penggunaan air.

"Bagaimanapun kita jangka cuaca hujan akan berlaku dalam tempoh tersebut dan elakkan kawasan panas kerana kita bimbang boleh berlaku pengehidratan," katanya. - Bernama