KUALA LUMPUR - Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menggesa kerajaan untuk memberikan perjalanan tanpa visa kepada pelancong China dan India untuk meningkatkan pelancongan Malaysia.
Presiden Matta, Datuk Tan Kok Liang berkata, ketibaan pengunjung ke Malaysia merosot sebanyak tiga peratus kepada 25.95 juta pada 2017 berbanding 26.76 juta pada 2016, walaupun ketibaan pelancong positif di seluruh Asean pada 2017.
"Industri pelancongan Malaysia ketinggalan di belakang negara-negara jiran seperti Thailand yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7.8 peratus, Singapura (6.2 peratus) dan Filipina (11 peratus)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tan berkata Malaysia boleh meningkat dan menjadi destinasi percutian pelancong jika kerajaan memberikan perjalanan tanpa visa kepada pelancong terutamanya dari China dan India.
"Menurut Tourism Malaysia, Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 34.2 peratus bagi pelancong China dan pertumbuhan sebanyak 10.4 peratus bagi pelancong India dari Jan hingga Sept 2018 berbanding tempoh sama pada 2017.
"Dengan pertumbuhan pelancong China dan India, kerajaan perlu mengambil peluang untuk menarik dua pasaran utama ini untuk pelancongan dalam negeri dengan kemasukan yang mudah ke Malaysia,” katanya.
Beliau berkata keputusan kerajaan untuk melanjutkan pengecualian visa selama 15 hari untuk pelancong dari China dan India dari 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2019 adalah baik tetapi ia perlu mempertimbangkan untuk memberikan perjalanan tanpa visa kepada mereka.
"Negara-negara jiran seperti Thailand menawarkan pemudahan visa untuk menarik pelancong asing terutamanya untuk mengalu-alukan pelancong China dan India, manakala Indonesia memberikan perjalanan tanpa visa kepada warganegara 169 negara termasuk rakyat China dan India ke negara mereka," katanya. - Bernama