SHAH ALAM - Penantian masyarakat dunia yang menunggu penemuan vaksin kepada virus koronavirus (Covid-19) dijangka terjawab seawal hujung tahun ini.
Pakar Mikrobiologi Klinikal daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Zamberi Sekawi berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, sehingga kini sememangnya sudah ada uji kaji klinikal penghasilan vaksin Covid-19 dijalankan di China dan Amerika Syarikat (AS) dengan proses kajian sudah memasuki peringkat percubaan ke atas manusia.
Lebih menarik, proses uji kaji penghasilan vaksin Covid-19 merupakan kesinambungan hasil kajian penemuan vaksin untuk penyakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang dilaksanakan para saintis sebelum ini.
"Kebiasaannya proses menghasilkan vaksin sesuatu penyakit memakan masa antara tiga hingga lima tahun dengan proses uji kaji klinikal perlu dimulakan kepada percubaan terhadap haiwan sebelum diikuti manusia.
"Berdasarkan kes Covid-19, telah ada uji kaji klinikal yang sudah dimulakan hasil kesinambungan kajian penghasilan vaksin SARS yang tertangguh beberapa tahun lalu susulan ia tidak lagi berjangkit dan terkawal.
"Dengan keperluan pematuhan garis panduan badan farmaseutikal dunia seperti Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS dilonggarkan pada saat kecemasan, saya yakin usaha penemuan vaksin Covid-19 mampu diselesaikan seawal akhir tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Dr Zamberi berkata, usaha saintis mencari vaksin Covid-19 menerusi kesinambungan kajian vaksin daripada penyakit SARS adalah dibenarkan dalam aspek perubatan kerana kedua-dua virus itu berasal daripada keluarga yang sama iaitu Corona.
"Kebiasaannya, ciri-ciri virus daripada keluarga yang sama adalah lebih kurang sama, cuma para saintis mungkin perlu mengubah jumlah protein spesifik vaksin itu nanti mengikut informasi genetik virus Covid-19 yang sudah tentu berbeza dengan SARS,” katanya.
Dr Zamberi turut berpendapat peluang untuk menemui vaksin Covid-19 lebih cerah berbanding penyakit HIV kerana sifat virus HIV adalah amat cepat bermutasi berbanding sifat Covid-19 yang bermutasi pada kadar lebih stabil.
Menurutnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga perlu memainkan peranan menasihati badan kelulusan perubatan di seluruh dunia untuk melonggarkan kelulusan penghasilan vaksin Covid-19 sebagaimana vaksin penyakit Ebola dengan mengambil kira keadaan kecemasan disebabkannya ketika ini.
"Sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan sebaiknya, harapan kita untuk melihat penemuan vaksin Covid-19 lebih cepat sekali gus membendung segera wabak sangat berjangkit itu lebih cerah,” katanya.
Dr Zamberi turut menjelaskan terdapat perbezaan di antara kajian penemuan vaksin Covid-19 dengan kajian rawatan perubatan bagi memulihkan pesakit dijangkiti virus itu.
Menurutnya, keputusan WHO memilih Malaysia menjalankan kajian menguji keberkesanan ubat merawat pesakit Covid-19 dikenali sebagai Remdesivir sebenarnya adalah proses pelaksanaan kajian rawatan perubatan bagi tujuan pemulihan pesakit yang telah dijangkiti Covid-19.
"Kajian penemuan vaksin pula lebih kepada tujuan pencegahan dengan pemberian vaksin akan ditumpukan kepada mereka yang belum lagi dijangkiti Covid-19 tetapi berisiko besar menghidapinya,” kata beliau.