KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua bermula hari ini, menjadi tempoh kritikal buat rakyat Malaysia dalam menentukan usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19, berjaya ataupun sebaliknya.
Keberkesanannya, sudah pasti antara lain bergantung kepada tahap disiplin tinggi rakyat untuk mematuhi PKP dalam usaha membendung gelombang pandemik itu yang kini menyaksikan rakyat terus 'dirayu' untuk duduk di rumah, kerap membasuh tangan serta mengamalkan jarakan sosial yang ditetapkan.
Walaupun tahap pematuhan rakyat terhadap PKP melebihi 90 peratus, angka itu mungkin tidak menggambarkan situasi sebenar secara keseluruhannya apabila masih terdapat individu ditahan kerana ingkar arahan tersebut dengan memberi pelbagai alasan tidak munasabah.
Dalam tempoh dua minggu pelaksanaan PKP fasa pertama sejak 18 Mac, trend jumlah kes positif baharu harian didapati meningkat dan kadang kala mendatar, sementara jumlah kes harian yang didiscaj dari wad meningkat saban hari.
Namun, melihat kepada bilangan kes positif yang masih tinggi ini menyebabkan kerajaan tiada pilihan selain mengetatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) pada fasa kedua pelaksanaan PKP itu sehingga 14 April ini, terutamanya terhadap sekatan ke atas kawalan masa dan pergerakan.
Ia menyaksikan semua premis perniagaan yang menjual barangan keperluan harian termasuk pasar raya serta stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi dari 8.00 pagi hingga 8.00 malam.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyatakan perkara itu berkata gerai dan restoran serta perkhidmatan penghantaran makanan juga perlu beroperasi pada waktu yang sama dalam tempoh fasa kedua itu.
Berkuat kuasa hari ini juga, kerajaan menetapkan harga siling baharu bagi penutup hidung dan mulut pada RM1.50 seunit.
Keseriusan kerajaan membendung penularan wabak itu juga dapat dilihat apabila semua rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di tempat khas yang ditetapkan oleh kerajaan berkuat kuasa 3 April ini.
Apa yang pasti, tempoh 14 hari akan datang mungkin juga menjadi bayangan kepada persoalan sama ada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dapat disambut seperti biasa ataupun sebaliknya.
Memetik kata-kata Ismail Sabri:"Yang boleh memastikan tidak ada PKP (fasa) ketiga, PKP (fasa) keempat dan kita boleh berhari raya seperti biasa adalah tuan-tuan dan puan-puan sendiri.
Jika kita terus mematuhi setiap arahan dan SOP yang dikeluarkan kerajaan, saya percaya perkara tentang ketakutan kita untuk sambungan PKP tersebut akan dapat kita diselesaikan." - Bernama