29,000 terima bantuan khas Covid-19 LZS

Iklan
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop

SHAH ALAM – Seramai 29,000 penerima akan memperoleh bantuan khas Covid-19 Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang dikreditkan terus ke akaun bank penerima secara berfasa bermula 27 Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop berkata, pembayaran yang dijangka akan diselesaikan selewat-lewatnya lusa itu melibatkan penyaluran agihan zakat sebanyak RM14 juta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai 9,000 penerima adalah dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf yang menerima bantuan khas sebanyak RM500 per keluarga dengan jumlah keseluruhan agihan zakat sebanyak RM4.5 juta.

Katanya, sebanyak 20,000 penerima lagi dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) khususnya penjaja, peniaga kecil dan keluarga B40 yang terjejas sumber pendapatan.

Iklan

"Penerima akan menerima bantuan maksimum sehingga RM500.

"Agihan kepada golongan ini melibatkan jumlah agihan zakat sebanyak RM9.5 juta menggunakan peruntukan asnaf fisabilillah," katanya.

Iklan

Saipolyazan berkata, LZS turut mengagihkan wang zakat sebanyak RM1juta kepada hospital kerajaan, pusat kesihatan daerah (PKD), petugas barisan hadapan yang menangani wabak Covid-19 serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Selangor.

Katanya, ia membabitkan pembelian peralatan perlindungan diri (PPE) kepada hospital dan PKD serta

makanan kepada petugas. Manakala bantuan makanan kepada pelajar IPT turut disalurkan melalui

Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan pengurusan IPT.

"Jumlah keseluruhan bantuan agihan khas telah disalurkan oleh LZS bagi memenuhi keperluan kebajikan dan perubatan golongan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan wabak Covid-19 adalah sebanyak RM15 juta," katanya.

Dalam pada itu, Saipolyazan menjelaskan selain bantuan agihan khas, LZS turut menyalurkan sebanyak RM30.5 juta bantuan bulanan kepada asnaf fakir, miskin, mualaf dan gharimin yang berdaftar.

Katanya, agihan tersebut melibatkan asnaf yang menerima bantuan zakat bulanan seperti kewangan, sewa rumah, rawatan dialisis dan perubatan.

"Seramai 14,909 asnaf fakir dan miskin turut dipastikan kelangsungan makanan bulanan sewaktu Covid-19 ini bagi mengelakkan mereka terputus bekalan.

"Bantuan berbentuk bulanan ini akan tetap disalurkan kepada asnaf sedia ada sekali gus membantu mengurangkan beban golongan ini terutama pada masa Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, Saipolyazan terus menyeru masyarakat Islam untuk menunaikan zakat melalui LZS secara

atas talian dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my ataupun menerusi perbankan internet.