Arab Saudi minta semua negara Islam tidak meterai sebarang kontrak haji buat masa ini

Iklan
Semua wang akan dikembalikan kepada mereka yang sudah mendapat visa umrah, tetapi tidak dapat melaksanakannya disebabkan oleh langkah berjaga-jaga yang diambil kerajaan Arab Saudi.

RIYADH - Menteri Haji dan Umrah, Dr Muhammad Saleh Taher Banten meminta agar negara-negara Islam tidak meterai atau memuktamadkan sebarang kontrak berkaitan dengan ibadah haji buat masa ini.

Jelas beliau, keputusan berhubung pelaksanaan haji pada tahun ini akan dibuat selepas mengenal pasti kesan penularan wabak Covid-19 yang berlaku pada ketika ini dan pada masa depan kerana ia merupakan tanggungjawab kerajaan terhadap kesihatan penduduk dunia.

Iklan
Iklan

"Kerajaan di bawah pimpinan Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan sangat mengambil berat tentang keselamatan semua jemaah haji dan umrah yang kini ditempatkan di hotel pengasingan kesihatan.

"Kami telah melakukan koordinasi dengan Kementerian Kesihatan untuk memastikan 1,200 jemaah umrah terkandas di Makkah dan tidak dapat pulang ke negara masing-masing dijaga dengan baik di hotel pengasingan kesihatan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian menerusi satu temubual dengan stesyen televisyen, Al-Ikhbaria TV di sini hari ini.

Semasa temubual itu, Muhammad Saleh berkata, semua wang akan dikembalikan kepada mereka yang sudah mendapat visa umrah, tetapi tidak dapat melaksanakannya disebabkan oleh langkah berjaga-jaga yang diambil kerajaan Arab Saudi.

Iklan

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua sektor kerajaan atas usaha mereka untuk memberikan perkhidmatan kepada para jemaah.

Pada 27 Februari lalu, kerajaan Arab Saudi membuat keputusan untuk menggantung kemasukan Jemaah umrah susulan penularan wabak Covid-19.

Kementerian Luar Arab Saudi memaklumkan, penggantungan termasuk program ziarah Masjid Nabi di Madinah.

Penggantungan turut membabitkan individu menggunakan visa pelancong dari negara terjejas akibat Covid-19.

Setiap tahun, Arab Saudi menerima lebih tujuh juta jemaah umrah dengan majoriti daripada mereka mendarat di lapangan terbang di Jeddah dan Madinah.