PUTRAJAYA - Seorang bapa tiri bernasib baik kerana hanya akan menjalani hukuman penjara 16 tahun dengan enam sebatan atas kesalahan melakukan sumbang mahram dan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii terhadap anak tirinya, tiga tahun lepas.
Ini berikutan Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Wira Mohtarudin Baki membenarkan sebahagian rayuan bapa tiri yang kini berumur 49 tahun itu supaya hukuman penjara 16 tahun dengan empat sebatan bagi kesalahan sumbang mahram dan penjara sembilan tahun dan dua sebatan bagi kesalahan oral seks berjalan serentak.
"Kami sependapat bahawa rayuan ini dibenarkan sebahagian. Hukuman bagi kedua-dua kesalahan hendaklah berjalan serentak. Dengan itu perintah hakim Mahkamah Sesyen dipinda,” kata Hakim Mohtarudin yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Rhodzariah Bujang dan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Bapa tiri itu merayu supaya keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Seremban pada 3 Mac 2017 yang memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan berasingan digantikan dengan serentak.
Mahkamah Tinggi Seremban pada 7 Mac 2018 juga mengekalkan perintah hukuman berjalan berasingan itu selepas menolak rayuan lelaki itu.
Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman tersebut selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan sumbang mahram dan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii terhadap anak tirinya yang ketika itu berumur 19 tahun, di sebuah rumah, di Nilai, Negeri Sembilan pada bulan Oktober 2016 hingga Februari 2017.
Bapa tiri itu yang tidak diwakili peguam dalam hujahannya berkata dia mengaku melakukan perbuatan itu terhadap anak tirinya dan memohon supaya mahkamah membenarkan rayuannya kerana dia kini telah insaf dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama.
"Saya sedar apa yang saya buat adalah salah dari segi agama dan undang-undang. Saya akan jadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran dalam hidup saya. Saya mohon hukuman berjalan serentak,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir pula memohon supaya hukuman Mahkamah Sesyen itu dikekalkan kerana kedua-dua kesalahan itu adalah berbeza dan ia bukannya di bawah kesalahan utama dan subsidiari.
Ditanya Rhodzariah adakah perbuatan itu melibatkan transaksi yang sama kerana dalam pertuduhan tidak dinyatakan masa kejadian dan Dhiya Syazwani Izyan menjawab walaupun masa kejadian tiada, tetapi ia tetap kesalahan berbeza.
"Pertuduhan adalah jelas, tiada tarikh kejadian. Kami tidak pasti sama ada kesalahan pada masa yang sama atau sebaliknya kerana masa tidak dinyatakan dalam pertuduhan,” kata Rhodzariah.
Di mahkamah sama, seorang abang ipar kekal menjalani hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan kerana melakukan sumbang mahram terhadap adik iparnya selepas mahkamah menolak rayuan akhirnya bagi mengetepikan hukuman penjara itu yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kangar, Perlis.
"Dalam kes ini perayu tidak mengaku bersalah. Ini menunjukkan perayu tidak merasa kesal atas perbuatannya terhadap adik ipar. Mahkamah menolak rayuan dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Hakim Mohtarudin.
Lelaki yang berumur, 22 tahun itu merayu supaya Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman bon berkelakuan baik selama dua tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen, Kangar, Perlis pada 15 Disember 2017.
"Saya telah jalani hukuman penjara selama dua tahun dengan baik, mohon ambil kira umur saya yang masih muda. Saya perlu menanggung isteri dan anak-anak yang masih kecil,” katanya yang tidak diwakili peguam.
Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir memohon supaya hukuman penjara itu dikekalkan mengambil kesan trauma yang dialami mangsa yang dirogol oleh suami kakaknya.
"Mangsa dalam keterangannya semasa perbicaraan kes itu juga mengalami tekanan emosi dan memberitahu mahkamah bahawa kejadian itu bukan dengan kerelaannya,” katanya.
Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman berkelakuan baik selama dua tahun terhadap lelaki itu selepas didapati bersalah melakukan sumbang mahram terhadap adik ipar, umur 15 tahun, di sebuah rumah di Simpang Empat, Kangar, Perlis, pada 5 pagi, 11 Disember 2015 dan Mahkamah Tinggi pula menggantikan hukuman itu dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dengan lima sebatan selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen. - Bernama