BACHOK - [DIKEMASKINI] Seorang buruh berusia 19 tahun ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes rogol ibu tunggal dan bunuh seorang lelaki dalam kejadian kelmarin.
Perintah reman terhadap remaja berkenaan dikeluarkan Majistret di Mahkamah Majistret Bachok, Mohd Dinie Syazwan Ab Shukor.
Suspek ditahan kira-kira jam 10.30 pagi semalam ketika sedang tidur di sebuah rumah yang tidak jauh dari lokasi berlaku jenayah.
Sebelum ini, dalam kejadian jam 7 pagi kelmarin, seorang lelaki berusia 28 tahun maut ditikam manakala dua lagi cedera termasuk ibu tunggal lima anak yang dipercayai dirogol oleh individu dikenali di Kampung Mujur, Jelawat di sini.
Suspek dikatakan memecah masuk rumah wanita berusia 40-an tersebut sebelum dipercayai merogol mangsa yang sedang tidur dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.
Lelaki yang maut dan cedera parah berusia 25 tahun itu dikatakan berada di rumah tersebut ketika kejadian itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ditahan bantu siasatan kes bunuh, rogol
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintenden, Samsulmuddin Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan tahanan reman itu dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 376 dan 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, lelaki yang maut itu ditikam di perut dan dada manakala rakannya yang parah masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).