SHAH ALAM - Operasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah pangsapuri di Seksyen 24 di sini, semalam membongkar kegiatan judi dan memproses air ketum yang membawa kepada penahanan 10 lelaki tempatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Embol berkata, serbuan dilakukan di dua lokasi berasingan kira-kira jam 5.30 petang.
Menurutnya, serbuan pertama di sebuah rumah, polis menahan lapan individu yang sedang leka berjudi dan merampas 52 keping kad daun terup serta wang tunai RM29.
"Di lokasi berhampiran juga, kita menyerbu sebuah rumah disyaki dijadikan tempat untuk memproses air ketum dan menahan dua lelaki. Polis turut merampas dua bekas dipercayai berisi rendaman daun ketum serta tiga botol air ketum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut juga menemui satu bekas mengandungi rendaman daun ketum dan empat bungkus plastik sampah berisi bahan itu di sebuah lagi rumah kosong di pangsapuri berkenaan.
Ramsay berkata, kegiatan memproses air ketum itu dipercayai aktif sejak dua minggu lalu dan mereka menjualnya pada harga RM20 sebotol.
Tegasnya, kesemua tangkapan berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun ditahan reman untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka, Akta Racun dan di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.
Operasi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.