Tabung CovidSinar: Bukti rakyat Malaysia prihatin

Iklan
Auzani (dua dari kiri) ketika menyelaras peralatan petugas kesihatan yang diterima daripada pembekal di Pusat Operasi Tabung CovidSinar di Kumpulan Karangkraf di sini hari ini.

SHAH ALAM - Sikap keprihatinan rakyat Malaysia terbukti apabila kutipan Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 (CovidSinar) yang diaktifkan sejak 18 Mac lalu kini mencecah hampir RM450,000.

Penyelaras Tabung CovidSinar, Auzani Fikry berkata, sehingga jam 8.30 malam tadi Tabung CovidSinar telah menerima sumbangan orang ramai berjumlah RM444,792.99.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sumbangan yang dihulurkan itu sangat bermakna buat petugas-petugas kesihatan bagi memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat ketika memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

"Kami juga amat berterima kasih kepada semua lapisan masyarakat yang begitu prihatin dan turut sama membantu dengan menyalurkan bantuan, sumbangan dan juga turut bekerjasama dengan kami sebagai sukarelawan Tabung CovidSinar ini.

Iklan

"Sehingga kini kita telah berjaya menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada lebih 10 klinik kesihatan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur termasuk klinik-klinik yang berada di Zon Merah seperti di Petaling Jaya, Lembah Pantai dan juga Titiwangsa,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Auzani berkata, bantuan yang disalurkan itu tidak hanya tertumpu di Selangor dan Kuala Lumpur sahaja, malah Tabung CovidSinar turut menyalurkan beberapa kelengkapan dan keperluan petugas kesihatan di Simpang Renggam, Kluang, Johor yang kini terpaksa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak Khamis lalu

Iklan

Katanya, walaupun pergerakan sukarelawan Tabung CovidSinar kini sedikit terbatas selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipertingkatkan, namun kerjasama erat diberikan pembekal dan juga klinik-klinik kesihatan terbabit telah melancarkan lagi proses pengagihan bantuan dari masa ke masa.

"Kita faham dengan situasi sekarang malah pihak berwajib juga telah memaklumkan agar kami mengurangkan pergerakan terutamanya di Zon Merah.

"Begitupun kami sentiasa akan memastikan setiap sumbangan yang kami perolehi dapat disalurkan dengan segera,” katanya.

Sinar Harian mengaktifkan Tabung CovidSinar bagi membolehkan rakyat di negara ini tampil bersama-sama membantu barisan hadapan dalam mengumpulkan dana kelengkapan perlindungan diri dan makanan.

Usaha tersebut juga bertujuan meringankan beban kumpulan terbabit dalam memerangi Covid-19 dan setiap sumbangan daripada segenap rakyat Malaysia akan disalurkan terus kepada barisan hadapan yang memerlukan.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 514271254025 dan sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan menerusi talian 019-6680920 (pesanan ringkas WhatsApp sahaja). #sinaruntukfrontlinerscovid, #rakyatbanturakyat, #kitalahmalaysia.