KUALA PILAH - Kariah Kampung Mertang Galau dengan kerjasama pihak Masjid Karyah Mertang Galau berjaya mengumpulkan sumbangan dana untuk membantu mereka yang memerlukan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha berkata, sumbangan dana berjumlah RM4,000 itu dapat memberi manfaat kepada 41 keluarga miskin.
Menurutnya, sebanyak 50 pek makanan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, susu, teh/milo diberi kepada penduduk kampung yang memerlukan di Masjid Kariah Mertang Galau, Seri Menanti.
"Insya-ALLAH kita akan teruskan untuk siri kedua jika PKP ini dilanjutkan lagi. Oleh itu kita sentiasa mengalu-alukan sumbangan masyarakat untuk terus menyumbang," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Sumbangan itu disampaikan oleh Rafie selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur di Masjid Seri Menanti semalam.
Hadir sama, Pengerusi Masjid Kariah Mertang Galau, Abu Samah Jaafar dan Bendahari, Roslan Alias serta Imam Azudin Mahmud.
Dalam pada itu, Rafie turut menasihatkan kepada semua masyarakat agar sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan yang sempurna bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) selain sentiasa mematuhi peraturan sepanjang tempoh PKP.
Sementara itu, salah seorang penerima, Zainab Yusuf,73, yang merupakan ibu tunggal melahirkan rasa terharu apabila menerima bantuan tersebut.
Katanya, bantuan itu dapat meringankan bebannya dan tidak perlu lagi keluar membeli barang keperluan harian.