SHAH ALAM - Umat Islam di negara ini disarankan untuk menerima alternatif bersolat tarawih di rumah sekiranya wabak koronavirus (Covid-19) masih belum berakhir menjelang Ramadan tidak lama lagi.
Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid berkata, sesungguhnya bersolat tarawih di rumah dan bukan di masjid sebenarnya adalah amalan bagi para sahabat Rasulullah SAW.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, ini kerana solat tarawih sebenarnya merupakan solat tahajud atau solat malam qiamullail.
"Berasaskan kepada hakikat itu, saya menyeru kepada umat Islam di seluruh negara agar tidak berasa kecewa dengan kedatangan Ramadan yang suram ini jika kehilangan peluang untuk solat tarawih beramai-ramai di masjid dan surau akibat Covid-19.
"Sekiranya ia berlaku (wabak masih ada), ia boleh digantikan dengan yang lebih baik daripada itu iaitu dengan bersolat tarawih di rumah sendiri bersama keluarga sebagaimana yang diamalkan oleh para sahabat Rasulullah SAW," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahmood Zuhdi berkata, umat Islam perlu sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT agar dapat melepasi ujian yang sedang dihadapi ini serta dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
"Apa pun, di sebalik keburukan yang kita alami akibat daripada wabak yang menyeluruh ini, tentunya ada kebaikan yang akan kita peroleh sama ada kita sedari ataupun tidak," katanya.