SHAH ALAM - Melakukan latihan kecergasan di dalam kawasan rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah rutin harian ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi.
Menurut anak kelahiran Subang Jaya itu, walaupun tidak dibenarkan keluar rumah, ia tidak bermakna beliau perlu berehat dan bersenang lenang sehingga menjejaskan kecergasan yang dibina sebelum ini.
"Lakukan senaman yang anda mahukan. Pasang video daripada YouTube dan ikuti langkah berkenaan. Buat regangan mudah jika anda boleh,” katanya yang berkongsi video senaman ringan yang dilakukannya di rumah di Instagram beliau.
Farah Ann yang merupakan pemegang tiga pingat emas di Sukan SEA 2019 berkata, banyak jenis latihan ringan boleh dilakukan di rumah.
Menurutnya, yang penting senaman tersebut dapat dilakukan secara berterusan setiap hari.
Dalam pada itu, Farah Ann turut menasihatkan orang ramai supaya kekal tenang di rumah bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).
"Saya tahu ini masa yang sukar dan kita semua berasa sedikit cemas serta gugup dengan keadaan sekarang.
"Perkara terbaik yang perlu dilakukan ialah tinggal di rumah, tetap tenang dan jangan panik,” katanya.
Anak kedua daripada tiga adik-beradik itu turut meminta semua pihak memastikan sumber berita yang dikongsi di media sosial adalah sahih agar tidak mengeruhkan lagi keadaan.
"Cari sumber dan maklumat yang bereputasi untuk memahami apa yang sedang berlaku. Jangan menyebarkan berita yang salah dan berbuat baik antara satu sama lain,” kata Farah Ann.