KOTA KINABALU - Gempa bumi lemah berukuran 3.3 pada skala Richter melanda Kundasang, Ranau pada jam 2.15 petang tadi.
Menurut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia pusat gempa itu terletak di 6.0 utara dan 116.6 timur kira-kira 11 kilometer barat laut Ranau.
Iklan
Iklan
"Gegaran pada kedalaman satu kilometer,” menurut laman web: www.met.gov.my.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Jimmy Lagung ketika dihubungi Bernama berkata gegaran itu hanya dirasai di kawasan Gunung Kinabalu.
Beliau berkata pihak bomba tidak menerima sebarang panggilan kecemasan manakala Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) memaklumkan keadaan di kawasan pendakian juga terkawal.
Jimmy berkata ia merupakan gegaran pertama direkodkan pada tahun ini selepas kejadian gempa bumi yang melanda daerah itu pada 2015.
"Seramai enam orang anggota MOSAR akan bertugas sehingga malam sebelum digantikan anggota lain untuk memantau keadaan,” katanya. - Bernama