KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan masih belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai penganjuran bazar Ramadan pada tahun ini sama ada diteruskan atau tidak bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sebarang keputusan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selepas ini.
"Buat masa ini kita tidak bincang lagi. Cuma ada pandangan dan setakat ini memang tiada perancangan untuk mengadakan bazar Ramadan.
"Memang dari segi keselamatannya nanti memang sukar untuk kita kawal (jika diadakan),” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri di JKR 10 di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai penganjuran bazar Ramadan di negeri itu memandangkan kerajaan Terengganu telah mengeluarkan arahan tiada bazar Ramadan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di seluruh negeri.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, ketika ditanya mengenai kepatuhan rakyat negeri itu terhadap arahan PKP, Mohd Amar berkata, ianya berlangsung dengan baik dan yakin rakyat Kelantan akan terus bersabar dengan tempoh lanjutan PKP sehingga 14 April ini.
"Alhamdulillah, kami mendapat maklumat dari pihak polis yang mengatakan 96 peratus rakyat di negeri itu mematuhi arahan PKP. Ada pihak yang berpendapat supaya kenakan hukuman ke atas mereka yang ingar PKP sebagaimana negara India lakukan.
"Tapi kita tidaklah sampai tahap itu, itu sudah keterlaluan. Kita (kerajaan) tidak ada masalah, sebab perkara itu (hukuman) adalah mengikut akta.
"Kita terpaksa buat sebab ada sebahagian daripada masyarakat ini macam sengaja mencabar pihak berkuasa dan mempermainkan peraturan,” katanya.