China sumbang 15,000 topeng muka kepada petugas perubatan di Kedah

Iklan
Mukhriz (tiga dari kanan) menerima sumbangan topeng muka dari kerajaan China di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

ALOR SETAR - Kerajaan China menyumbang sebanyak 15,000 topeng muka pembedahan kepada petugas perubatan di Kedah yang terlibat dalam usaha memerangi pandemik koronavirus (Covid-19).

Usaha itu dituruti salah sebuah pelabur terbesar dari China di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), XSD International Paper Sdn Bhd yang menyumbangkan sebanyak 100,000 topeng muka jenis pakai buang kepada kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

Penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan Konsul Jeneral China di Pulau Pinang, Lu Shiwei kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Shiwei berkata, pelbagai pihak di Malaysia sebelum ini memberikan sokongan amat bermakna kepada negara itu ketika mereka berdepan detik-detik sukar melawan Covid-19.

Iklan

"Ketika ini Malaysia berdepan detik kritikal memerangi pandemik itu dan kami simpati dengan cabaran dihadapi.

"Oleh itu kami telah menjalin hubungan dengan beberapa pihak bagi mengkoordinasi bantuan untuk dibawa ke sini bagi menangani Covid-19," katanya pada sidang akhbar selepas penyerahan sumbangan tersebut di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Iklan

Tambahnya, penularan Covid-19 bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan dan beliau turut memuji pendekatan diambil kerajaan negeri hingga membolehkan jumlah pesakit Covid-19 di Kedah kekal pada paras rendah berbanding negeri lain.

"Dalam hal ini, Konsul Jeneral China di Pulau Pinang berdiri teguh bersama rakyat Kedah dan akan terus menjalin kerjasama bersama kerajaan negeri dalam memerangi Covid-19 ini.

"Kami percaya di bawah kepimpinan Mukhriz selain kerjasama dari pelbagai pihak, Kedah akan memenangi 'pertarungan' akhir menentang Covid-19 ini," katanya.

Sementara itu, Mukhriz mewakili kerajaan negeri menzahirkan ucapan terima kasih selain penghargaan terhadap sumbangan diberikan itu.

"Barangan ini akan kita serahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk kegunaan petugas barisan hadapan. Keprihatinan mereka dalam menangani penularan Covid-19 ini amat dihargai," katanya.

Selain itu,kerajaan negeri turut menerima 4,000 kampit beras 5 kilogram yang disumbangkan oleh beberapa individu.

Bantuan beras terbabit akan disumbangkan kepada masyarakat yang memerlukan khususnya di kawasan perumahan yang memohon bantuan.