SHAH ALAM - Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berharap kerajaan dapat memberikan komitmen kepada rakyat bahawa negara akan kembali beroperasi selepas 14 April iaitu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua berakhir.
Katanya, kerajaan juga perlu memaklumkan kepada rakyat apa yang perlu mereka lakukan dalam jangka masa berbaki 14 hari ini agar negara bersedia dengan kelaziman baharu tanpa mengakibatkan gelombang baharu jangkitan virus koronavirus (Covid-19).
"Kerajaan melalui Perdana Menteri harus berjanji untuk mencuba sedaya termampu supaya PKP tidak disambung ke fasa ketiga. Kejujuran dan ketelusan dalam hal ini adalah amat penting," katanya menerusi hantaran di blognya hari ini.
Katanya, berdasarkan perkembangan semasa yang memperlihatkan vaksin hanya mungkin berjaya dihasilkan sekitar 12 hingga 18 bulan lagi, langkah untuk beroperasi selepas tamat tempoh empat minggu PKP sebenarnya tidak memberi 'lesen' kepada semua rakyat Malaysia untuk menjalani kehidupan sedia kala sama seperti sebelum 18 Mac lalu.
"Orang ramai perlu dimaklumkan bahawa apa yang seharusnya berlaku dan apa yang perlu kita lakukan bersama ialah memastikan Malaysia boleh kembali beroperasi pada 15 April walaupun berhadapan kelaziman baharu," katanya.
Jelasnya, strategi membendung dan menyekat penularan Covid-19 melalui PKP bertujuan untuk mengelakkan peningkatan kes secara mendadak yang bakal menyebabkan runtuhnya sistem keselamatan negara seperti yang berlaku di Itali.
"Tanpa memperluaskan pencarian dan ujian secara besar-besaran, kita masih tidak tahu berapa ramai di luar sana yang menyebarkan virus ini pada saat dan ketika PKP berakhir kerana mereka tidak dapat kita asingkan untuk rawatan.
"Perincian mengenai ujian ini sepatutnya dikongsi dalam sidang media harian Ketua Pengarah Kesihatan. Setiap hari rakyat Malaysia wajar diberitahu jumlah ujian yang telah dilakukan. Menurut laman web Kementerian Kesihatan, setakat tengah hari semalam, seramai 40,483 orang telah diuji dengan 2,766 positif dan 29, 498 negatif manakala 8,219 belum diketahui," katanya.
Tambahnya, secara ideal, kerajaan harus menguji lebih 300,000 orang atau satu peratus daripada populasi Malaysia menjelang 14 April.
"Ini sejajar dengan sasaran Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah untuk menguji 16,000 orang bermula bulan April. Kita telah menguji 40,000 orang.
"Jika kita menguji 16,000 orang sehari bermula 1 April, kita boleh mencapai 224,000 orang lagi. Sasarannya wajar melebihi 300,000 dan diperluas secara dinamik," katanya.