AKIBAT gagal membayar cukai pendapatan berjumlah RM77,000, pelakon kontroversi, Iqram Dinzly telah diisytiharkan muflis.
Menurut Iqram atau nama lengkapnya, Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 38, berita tersebut dimaklumkan oleh peguam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Mahkamah Majistret, Ipoh pada Isnin.
"Saya sampai lambat, jadi peguam LHDN hanya serahkan keputusan mahkamah. Saya tak tahu nak cakap apa. Mahkamah sudah putuskan, jadi saya kena terima.
"Lagi pula saya memang tak mampu nak bayar dan tak boleh nak buat apa-apa. Cuma sekarang, saya kena cari jalan macam mana nak selamatkan aset yang ada seperti rumah dan kereta. Ini saja yang tinggal.
"Diakui apa yang berlaku atas silap sendiri, tetapi jujur saya katakan selama ini memang tidak tahu prosedur pembayaran. Saya hanya tahu kumpul resit saja,” katanya sebagaimana yang dilaporkan sebuah akhbar.
Menurut Iqram lagi, notis pemberitahuan tentang bayaran cukai pendapatan yang berjumlah RM200,000 diterima sejak tiga tahun lalu di mana jumlah tersebut dikira berdasarkan tempoh 10 tahun pembabitannya dalam bidang seni.
Bagaimanapun kata Iqram, selepas namanya disenarai hitam, dia telah mendapatkan khidmat ejen untuk berurusan dengan pihak LHDN dan jumlah tersebut dapat dikurangkan sehingga RM67,000.
Namun jumlah itu kembali meningkat kepada RM77,000 selepas Iqram gagal membuat bayaran dalam tempoh tiga bulan yang ditetapkan.
"Dua minggu lalu, saya pergi ke pejabat LHDN di Jalan Duta bagi berbincang sekali lagi. Hasil perbincangan negatif. Mereka cakap saya tiada inisiatif untuk membayar.
"Disebabkan itu, jumlah meningkat semula kepada RM77,000 dan saya diberi tempoh 10 hari untuk menjelaskannya. Jika gagal, saya diisytihar muflis,” katanya lagi..