Kedah tiada kes Chikungunya, ambil langkah pencegahan

Iklan
Dr Norhizan

ALOR SETAR - Tiada kes baharu Chikungunya dilaporkan di Kedah setakat ini, susulan penularan virus itu di wilayah Hatyai, Thailand, baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah mengambil langkah pencegahan dan kawalan di beberapa pintu masuk antarabangsa sempadan Malaysia-Thailand.

Iklan
Iklan

Menurutnya, di Kedah, tumpuan diberikan di pintu masuk Bukit Kayu Hitam, Pulau Langkawi dan Kota Putra Durian Burung.


"Sebanyak 190 kes Chikungunya direkodkan di Kedah pada tahun 2017, manakala hanya lima kes pada 2018 dan kes terakhir adalah pada 12 Ogos 2018. Tiada kes terbaharu dilaporkan sehingga kini,” katanya.

Iklan

Dr Norhizan berkata, sepanjang Disember 2018, seramai 125,908 pelawat disaring namun tiada pelawat yang didapati mengalami demam.

"Aktiviti saringan demam ke atas pelawat turut dijalankan dan mereka yang mempunyai suhu badan tinggi akan diperiksa dan dirujuk ke klinik berdekatan bagi pemeriksaan lanjut,” katanya.

Iklan

Pihaknya sentiasa menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan vektor secara berkala antaranya, pemeriksaan pembiakan aedes dan kajian ovitrap serta aktiviti pemusnahan tempat pembiakan aedes, semburan ruang dan larviciding.

"Kita akan terus pertingkatkan aktiviti survelan penyakit Chikungunya di mana Jabatan Kesihatan Kedah mempunyai hubungan baik dengan Pejabat Kesihatan Wilayah Songkhla melalui Jawatankuasa ‘Border Health Good will Subcommittee’,” katanya.

Beliau berkata, penyakit ini disebabkan oleh jangkitan virus Chikungunya yang disebarkan oleh nyamuk aedes, yang juga pembawa virus denggi.

"Antara tanda penyakit ini adalah demam, ruam biasanya bahagian kaki, tangan dan badan, sakit badan dan sakit sendi. Sakit sendi disebabkan Chikungunya boleh menjadi teruk sehingga menghadkan pergerakan pesakit malah mengalami kesakitan berulang sehingga beberapa bulan atau tahun dan memerlukan rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pesakit yang mempunyai gejala itu akan dibuat ujian rapidserologi bagi tujuan pengesahan penyakit Chikungunya.

"Saya nasihatkan agar masyarakat sentiasa peka, amalkan aktiviti pencegahan seperti, luangkan masa 10 minit seminggu untuk bersihkan persekitaran serta musnahkan tempat pembiakan aedes di kawasan rumah,” katanya.

Dr Norhizan berkata, gunakan ubat pemusnah jentik-jentik (abate) dalam bekas takungan air kekal jika tidak digunakan melebihi seminggu.

"Gunakan semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa dalam rumah, serta gunakan repelan nyamuk pada anggota badan yang terdedah kepada gigitan nyamuk ketika waktu puncak, bermula 5.00 - 7.00 pagi dan 5.00 - 7.00 malam,” katanya.