SHAH ALAM - Rakyat Malaysia yang dijadualkan menunaikan ibadah Rukun Islam kelima pada tahun ini wajib akur dengan pendirian Arab Saudi yang meminta kesemua negara Islam untuk tidak memeterai kontrak haji buat masa ini berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, penularan Covid-19 adalah isu yang besar dan langkah Arab Saudi menasihatkan tindakan itu menjadi satu kewajipan yang perlu dilaksanakan negara berkenaan.
"Rakyat mesti akur apabila kerajaan memutuskan sesuatu perkara. Sama seperti di Malaysia apabila kerajaan mengarahkan solat Jumaat digantikan dengan solat Zuhur di rumah masing-masing kerana ancaman Covid-19, rakyat wajib mentaatinya.
"Jangan ada sesiapa melanggar arahan itu. Bahkan kalau kita baca kitab-kitab fikah, ibadah seumpama itu (tunai haji ketika wabak) kalau kita langgar (arahan pemerintah) maka ibadah itu boleh jadi haram,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
Terdahulu, Menteri Haji dan Umrah, Dr Muhammad Saleh Taher Banten meminta agar negara-negara Islam tidak meterai atau memuktamadkan sebarang kontrak berkaitan dengan ibadah haji buat masa ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Arab Saudi minta semua negara Islam tidak meterai sebarang kontrak haji buat masa ini
Jelas beliau, keputusan berhubung pelaksanaan haji pada tahun ini akan dibuat selepas mengenal pasti kesan penularan wabak Covid-19 yang berlaku pada ketika ini dan pada masa depan kerana ia merupakan tanggungjawab kerajaan terhadap kesihatan penduduk dunia.
Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi berkata, Islam juga mempunyai prinsip maqasid syariah (matlamat yang dikehendaki syarak) yang mempunyai tujuan tersendiri.
"Ibadah haji difardukan bertujuan mengumpulkan umat Islam dari serata dunia supaya bersatu dan mendapat keampunan ALLAH."Dalam menunaikan ibadah tersebut, ada perkara-perkara yang mesti dipelihara antaranya agama, nyawa dan keturunan.
"Dalam apa jua perkara, agama mesti diutamakan. Namun, dalam banyak keadaan apabila bertembung antara agama dan nyawa, soal menjaga nyawa lebih mustahak,” katanya.
Nik Muhammad Zawawi berkata lagi, Covid-19 boleh meragut nyawa manusia, maka isu menjaga banyak nyawa menjadi keutamaan lebih daripada soal beribadah iaitu haji yang disyaratkan kepada orang yang berkemampuan.
Pada tahun ini, kuota jemaah haji yang ditetapkan ialah seramai 31,600 orang.