KUANTAN - Sekumpulan orang asli membina pagar penghadang diperbuat daripada batang buluh dan pelepah kelapa di pintu masuk ke Kampong Paya Mengkuang, Temerloh bagi menghalang orang luar memasuki perkampungan itu susulan kebimbangan terhadap penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Ketua Kampong Paya Mengkuang, Kursidah Kudus berkata, masyarakat orang asli dari keturunan Jahut, Jakun dan Semelai itu mengambil tindakan demikian sebagai usaha mengelak risiko jangkitan Covid-19 memasuki penempatan mereka yang mempunyai kira-kira seramai 700 penduduk.
"Langkah ini juga bagi mengurangkan pergerakan penduduk keluar dan masuk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan kerajaan.
"Setakat ini, kami semua mematuhi arahan (PKP). Saya dan Tok Batin memang tegas, menghalang penduduk keluar membeli barang ke bandar secara berkumpulan. Orang mungkin nampak usaha seperti ini kecil tapi sebenarnya ia membawa impak positif kepada penduduk," katanya.
Tambah Kursidah, dengan adanya pagar penghadang itu, orang luar seperti peniaga warga asing juga tidak akan dapat sewenang-wenangnya masuk ke kawasan mereka dalam keadaan genting ketika ini berikutan Covid-19.
Sementara itu, Tok Batin, Idris Onn berkata, penduduk kampung sepakat mengambil keputusan membina pagar penghadang itu bagi menghalang orang luar yang mungkin berisiko sebagai pembawa virus Covid-19 memasuki perkampungan itu.
Menurutnya, penduduk kampung sendiri yang memberi idea tersebut selepas mengadakan perbincangan hingga akhirnya membuat keputusan untuk membina pagar tersebut di tiga pintu masuk perkampungan mereka.
"Penghadang yang dibina dengan niat menjamin keselamatan penduduk ini mungkin boleh dicontohi oleh perkampungan lain. Kita akan dapat mengawasi pergerakan penduduk kampung supaya mereka tidak sesuka hati keluar serta masuk kecuali jika mempunyai urusan yang betul-betul penting. Tindakan ini mendapat reaksi positif daripada penduduk di kawasan ini," katanya.