KUALA LUMPUR - Statistik indeks jenayah di Kuala Lumpur sepanjang dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan penurunan sebanyak 14.2 peratus.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jenayah kekerasan juga mencatatkan penurunan sebanyak 18.1 peratus dan jenayah harta benda menunjukkan penurunan sebanyak 12.8 peratus.
"Penurunan kadar jenayah sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP fasa pertama pada 18 Mac hingga 31 Mac ini adalah disebabkan pihak polis meningkatkan jumlah sekatan jalan raya, rondaan Unit Peronda Kereta (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB),” katanya melalui satu kenyataan.
Mazlan berkata, selain itu pihaknya turut mewujudkan pasukan pemantau yang berperanan untuk menguatkuasakan pelaksanaan PKP, sekali gus mencegah jenayah daripada berlaku.
"Pada masa yang sama, kita juga berusaha keras dalam memastikan penguatkuasaan PKP bagi membendung penularan (koronavirus) Covid-19,” katanya.
Beliau berkata, sekatan jalan raya dan pemeriksaan dijalankan dan dipergiatkan lagi oleh pihak polis bagi memastikan orang ramai mematuhi PKP.
"Kita akan terus komited membanteras jenayah bagi memastikan tahap keselamatan di banda raya Kuala Lumpur adalah terjamin.
"Selain itu, kita juga menasihatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan sebarang maklumat di media sosial dan tidak menularkan perkara-perkara tidak sahih dan tidak benar yang boleh menimbulkan ketakutan mahu pun kegusaran orang ramai.
"Tindakan yang lebih tegas akan diambil terhadap individu yang melakukan perkara sebegini mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.