PFAM tak halang pemain berbincang

Iklan
Shahrom

PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) tetap dengan pendirian untuk tidak bersetuju dengan tindakan pasukan memotong gaji pemain ketika tempoh penangguhan Liga Malaysia (Liga-M) berikutan wabak koronavirus (Covid-19).

Bagaimanapun Timbalan Presidennya, Muhammad Shahrom Abdul Kalam berkata, pihaknya tidak menghalang sekiranya terdapat para pemain bersetuju untuk mengadakan perbincangan bersama pasukan masing-masing dengan syarat tidak berlaku penindasan terhadap pemain.

Iklan
Iklan

"Kenyataan yang kami keluarkan hanyalah pendirian kami di PFAM. Kami tidak menghalang jika ada pemain yang setuju mengadakan perbincangan dengan pasukan.

"Kami menekankan beberapa perkara dalam kenyataan itu yang menyebabkan kami tidak bersetuju pemotongan gaji dilakukan antaranya pemotongan dilakukan oleh pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji sebelum ini.

Iklan

"Contohnya ada pasukan yang masih tak bayar gaji pemain bulan lalu, tetapi bulan ni mereka nak potong lagi dengan alasan Covid-19. Itu tidak boleh,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengeluarkan kenyataan meminta pemain dan pasukan berbincang berkaitan masalah gaji dan kontrak pemain sepanjang penangguhan Liga-M akibat Covid-19 ini.

Iklan

Bagaimanapun, PFAM tidak bersetuju dan mahukan setiap pasukan menghormati kontrak dan melunaskan gaji seperti biasa.

Dalam masa sama, Muhammad Shahrom mahu semua pihak melihat realiti gaji pemain bola sepak di negara ini dan menegaskan bahawa bukan semua pemain menerima gaji besar.

"Realitinya, situasi gaji pemain bola sepak di Malaysia tidak seindah disangka semua pihak.

"Apa yang kami ambil berat adalah pasukan yang pemainnya bergaji kecil sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan. Jika dipotong gaji mereka, berapa lagi yang tinggal? Bukan kami berkeras tidak terima cadangan perbincangan terbuka itu, tetapi kami mempertahankan pemain yang bergaji sedikit ini.

"Kami puji ada pasukan yang buat penangguhan gaji maknanya mereka bayar separuh dahulu dan bila selesai Covid-19 ini mereka akan lunaskan bakinya. Saya rasa itu lebih baik daripada langsung tidak terima gaji,” katanya.