Pematuhan PKP di Gombak capai 98 peratus

Iklan
Arifai sedang menyoal seorang penunggang motosikal di sekatan jalan raya di Kilometer 14 Jalan Ipoh, di sini, hari ini.

GOMBAK – Tahap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Gombak berbeza mengikut waktu tertentu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya mendapati pematuhan mencapai 98 peratus pada jam 12 tengah malam hingga 8 pagi melalui penutupan operasi perniagaan dan bilangan kenderaan di atas jalan raya.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun, pematuhan terhadap PKP semakin menurun iaitu sebanyak 90 peratus pada jam 8 pagi hingga 12 tengah malam," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau sekatan jalan raya di Kilometer 14 Jalan Ipoh hari ini.

Menurutnya, polis telah melaksanakan lima sekatan jalan raya di sekitar Gombak sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu.

Iklan

"Kita mendapati individu yang keluar dari rumah memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah iaitu mahu melawat saudara dan membeli makanan di kedai yang jauh dari kediaman. Polis terpaksa mengarahkan mereka berpatah balik,” katanya.

Arifai berharap penduduk Gombak bersabar dan mematuhi arahan pihak berkuasa terutamanya mengenai sembilan jalan di sekitar daerah itu yang akan ditutup secara berperingkat.

Iklan

"Kita mahu melihat kehidupan kembali normal dan rakyat dapat bergerak bebas. Jika masyarakat masih lagi ingkar mungkin jalan yang akan ditutup semakin bertambah termasuk lorong kawasan taman perumahan,” katanya.