TNB sumbang RM2 juta kepada hospital kerajaan di Kedah

Iklan
Mukhriz (empat dari kanan) menerima replika cek sumbangan daripada Wan Ishak (tiga dari kiri) di Wisma Darul Aman hari ini.

ALOR SETAR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyumbang RM2 juta kepada kerajaan negeri Kedah untuk kegunaan di hospital-hospital kerajaan di negeri ini bagi memerangi pandemik Covid-19.

Ketua Khidmat Pelanggan TNB Kedah, Wan Ishak Soed berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan dalam memberi khidmat kepada negara dan rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sumbangan berkenaan akan diagihkan kepada hospital kerajaan di Kedah yang terlibat secara langsung merawat serta melakukan ujian saringan Covid-19, meliputi empat hospital utama, iaitu Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Hospital Sultanah Maliha (HSM) di Langkawi, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani dan Hospital Kulim.

"Kita serahkan sumbangan, terpulang kepada pihak hospital untuk membeli peralatan diperlukan. Ini antara sumbangan TNB untuk dikembalikan kepada rakyat dan kita harapkan supaya wabak ini dapat segera ditangani," katanya.

Iklan

Terdahulu, Wan Ishak menyampaikan sumbangan tersebut kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, disaksikan Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh di Wisma Darul Aman hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Ishak berkata, TNB Kedah sentiasa siap siaga selain memiliki pelan kecemasan bagi memastikan bekalan elektrik di negeri ini terutamanya hospital dan klinik kesihatan berada dalam keadaan terbaik.

Iklan

"Kita memiliki pasukan yang bersedia 24 jam bagi pastikan bekalan elektrik berterusan terutamanya di hospital dan klinik kesihatan. Jika terputus bekalan sekali pun, pasukan ini akan bertindak pantas menyambung bekalan secepat mungkin,” katanya.

Menurutnya, pihaknya telah mengenal pasti 37 stesen kuarantin siap sedia untuk dibuka pada bila-bila masa di negeri ini.

"Setakat ini, dua pusat kuarantin telah beroperasi dan pasukan teknikal kita sentiasa bersedia sekiranya terdapat sebarang masalah di lokasi terlibat," katanya.

Sementara, Mukhriz berkata, sumbangan diberikan menzahirkan penghargaan dan keprihatinan syarikat GLC itu kepada rakyat Kedah.

"Sumbangan ini amat dialu-alukan, ini menunjukkan keprihatinan TNB kerana kita sememangnya memerlukan dana untuk membeli peralatan diperlukan bagi menyekat penularan wabak secara efisien dan efektif," katanya.