Perak benar operasi perniagaan hingga jam 8 malam

Iklan
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu - Foto Bernama

IPOH - Bermula esok, tempoh operasi bagi semua premis perniagaan dan perkhidmatan di Perak diselaraskan dari jam 8 pagi hingga 8 malam sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pematuhan perintah itu melibatkan premis perniagaan yang menjual keperluan harian termasuk pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam; kedai makan dan rangkaian restoran makanan segera termasuk khidmat pandu lalu.

Iklan
Iklan

"Tidak terkecuali perkhidmatan penghantaran makanan, operasi di stesen minyak dan operasi mesin ATM di cawangan-cawangan perbankan.

"Bagaimanapun, hospital swasta, klinik swasta dan farmasi adalah dikecualikan daripada arahan waktu operasi ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Sebelum ini, kerajaan Perak membuat ketetapan membenarkan semua premis berkenaan beroperasi mulai 7 pagi hingga 7 malam bermula hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, kerajaan Perak turut bersetuju untuk menetapkan waktu operasi bagi pasar awam dari jam 6 pagi hingga 12 tengah hari, pasar borong dari jam 4 pagi hingga 10 pagi, bengkel membaiki kenderaan dan tayar serta kedai alat ganti dari jam 8 pagi hingga 4 petang.

Iklan

Katanya, waktu operasi pengangkutan awam ditetapkan dari 6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam, kenderaan persendirian termasuk perkhidmatan E-Hailing dan teksi pula hanya dibenarkan antara jam 6 pagi sehingga 10 malam.

"Sementara pengangkutan komersial membabitkan barangan keperluan seperti makanan dan perubatan digalakkan beroperasi dari 7 malam sehingga 7 pagi.

"Perkhidmatan tunda kenderaan boleh beroperasi seperti biasa," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga menetapkan had tempoh operasi dua kali seminggu bagi beberapa jenis perniagaan iaitu kedai input pertanian (baja/racun), kedai perkakasan, makanan haiwan kesayangan, makanan haiwan, ubatan dan keperluan berkaitan serta kedai menjual alat tukar ganti jentera pertanian dan industri.

Katanya, aktiviti riadah dan sosial sama sekali tidak dibenarkan di kawasan awam dan persendirian dan kelonggaran akan diberi kepada golongan autisme dan kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan terapi seperti dinasihatkan pakar dan ini tidak dibenarkan secara berkumpulan.

"Semua agensi diminta melaksanakan penguatkuasaan sebagai salah satu usaha mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Untuk makluman juga, kerajaan negeri telah menubuhkan Pusat Panggilan Pengasingan (ICC) bagi membantu Jabatan Kesihatan Negeri memantau pergerakan pesakit dalam pemantauan (PUI) bermula di daerah Kinta. Pusat ini diketuai oleh petugas dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak," katanya.