PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan (KKM) berdepan masalah logistik bagi penghantaran peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan topeng muka di fasiliti kesihatan terutama Sabah dan Sarawak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, masalah tersebut menyebabkan sesetengah hospital tidak mempunyai bekalan PPE dan topeng muka mencukupi.
"Ya, pada mulanya memang kita mempunyai kekurangan PPE dan topeng muka namun masalah itu dapat diatasi.
"Masalah sekarang ialah penghantaran ke hospital yang kekurangan bekalan itu dan KKM sedang berusaha mengatasinya.
"Insya-ALLAH kita akan selesaikan minggu ini," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Sementara itu, menyentuh mengenai keputusan penggunaan kit ujian pengesanan antigen dari Korea Selatan yang dilaksanakan semalam, beliau berkata, ketepatannya hanya pada tahap 56.6 peratus.
"Setiap kit ujian perlu mencapai keputusan antara 75 hingga 80 peratus bagi membolehkan penggunaannya.
"Jadi kita tunggu untuk menggunakan 'fluorescent reader', apabila ketepatannya mencecah 75 hingga 80 peratus baru kita gunakan," katanya.
Semalam, KKM menerima kit ujian antigen tersebut dan sekiranya ia menepati, kerajaan akan membuat perolehan sehingga 200,000 kit.
ARTIKEL BERKAITAN: 43,462 sampel makmal Covid-19 diuji sehingga hari ini