BAKAU -"Semasa hari pertama kami mengedarkan bantuan makanan, bapa muda ini datang kepada kami berbasikal dalam keadaan termengah-mengah."
Status berkenaan dikongsi seorang aktivis masyarakat dikenali sebagai Abam Botak di Facebooknya dan memuat naik gambar seorang lelaki yang sedang berlari sambil menyorong basikal.
Menurut Abam Botak, ketika itu dia memandu van dalam perjalanan untuk mengedarkan bantuan makanan kepada penduduk yang memerlukan.
Katanya, lelaki itu dalam keadaan termengah-mengah selepas mengejarnya dengan mengayuh basikal kerana menceritakan bahawa dia tidak mempunyai makanan untuk diberikan kepada anak dan isterinya dan dia memohon sedikit bantuan.
Lebih memilukan, kata Abam Botak dia tidak dapat membantu lelaki tersebut kerana sumbangan yang dibawa perlu diserahkan kepada mereka yang sudah disenaraikan.
Tidak sampai hati membiarkan perkara itu, Abam Botak memberitahu, dia memberikan nombor telefon miliknya kepada lelaki tersebut dan keesokan harinya sumbangan dapat diberikan padanya.
Menurutnya, betapa gembiranya lelaki berkenaan sehingga dia cuba mencium tangan atas kesudian memberi bantuan kepadanya namun Abam Botak menolak secara baik.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib lelaki berkenaan.