Indonesia teruskan persiapan haji

Iklan
Status musim haji pada tahun ini masih samar ekoran kerajaan Arab Saudi belum membuat sebarang keputusan rasmi. - AFP Gambar kecil: Oman Fathurahman

JAKARTA - Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia memberi jaminan bahawa musim haji pada tahun ini masih kekal dalam jadual untuk bulan Julai.

Agensi berita Jakarta Post melaporkan, jaminan itu sekali gus menolak laporan kerajaan Arab Saudi yang menasihatkan umat Islam di seluruh dunia untuk tidak membuat persiapan haji ekoran pandemik koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

Jurucakap kementerian, Oman Fathurahman berkata, Riyadh tidak secara rasmi memaklumkan Jakarta tentang penggantungan haji tersebut.

"Kerajaan Saudi belum memutuskan sama ada musim haji pada tahun ini akan ditangguhkan. Kami akan meneruskan persiapan selagi tiada pengumuman rasmi daripada pihak Arab Saudi mengenai perkara itu," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Iklan

Menurut Oman, media antarabangsa gagal menterjemahkan kenyataan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Muhammad Salih Taher Banten yang dibuat dalam bahasa Arab kepada saluran berita Al Ekhbariya.

Oman mendakwa, Muhammad Salih meminta jemaah untuk menangguhkan kontrak haji bbuat masa ini sementara menunggu pengumuman baharu daripada kerajaan dan bukannya menangguhkan musim haji.

Iklan

"Menteri Saudi hanya mencadangkan agar tidak tergesa-gesa dalam menempah penginapan untuk bakal jemaah. Ini mungkin kerana kerajaan Saudi masih menyediakan kemudahan haji," jelasnya.

Katanya lagi, kenyataan Muhammad Salih adalah sama dengan surat yang diterima oleh kementerian Indonesia.

Surat menyurat terkini yang diterima kementerian Indonesia mengenai perkara tersebut adalah pada 6 Mac lalu.

Oman turut memberitahu, pemerintah Indonesia mempunyai rancangan sokongan jika benar musim haji pada tahun ini dibatalkan. - Agensi