Bapa reda, tak salahkan pengasuh

Iklan
Hafezul bersama ahli keluarga setia menunggu di pekarangan Bilik Mayat HGM.

GUA MUSANG - Bapa kanak-kanak perempuan yang maut dilanggar kereta di rumah pengasuhnya di Taman Kesedar Jaya, di sini tidak menyalahkan pengasuh anaknya atas kemalangan itu yang berlaku petang semalam.

Sebaliknya, Mohd Hafezul Abdullah, 35, menerimanya sebagai ketentuan ALLAH dan reda dengan kematian Aamina Inayah yang berusia setahun lima bulan, disebabkan kemalangan yang tidak disengajakan selain sudah sampai ajalnya.

Iklan
Iklan

Namun begitu, beliau tetap berasa sedih dan sunyi berikutan pemergian anak keduanya itu.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Bayi maut dilanggar di rumah pengasuh ]

Iklan

[ ARTIKEL BERKAITAN: Baru seminggu tukar pengasuh ]

Mohd Hafezul dan isteri Kharina Sharing, 33, mempunyai seorang lagi anak perempuan berumur lapan tahun yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Wangi 2 dan ketika kejadian berlaku sedang mengikuti kelas fardu Ain.

Iklan

Katanya ketika kejadian, beliau berada di tempat kerja di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang dan bergegas ke Hospital Gua Musang (HGM) sebaik dimaklumkan kejadian berkenaan tetapi sebaik tiba, anaknya telah meninggal dunia.

"Apa yang saya fikirkan semuanya itu kehendak Ilahi dan ALLAH lebih sayangkan dia," katanya ketika ditemui sewaktu sedang menuntut jenazah anaknya di HGM, di sini, hari ini.

Tragedi berlaku kira-kira jam 5 petang ketika ibu pengasuh, Che Jah Yaacob, 54, mengalihkan kereta Toyota Fortuner yang berada di luar untuk masuk ke dalam garaj di depan rumahnya.

Pengasuh, Nor Syamimi Ibrahim, 20, ketika itu berada di dalam rumah dan tidak menyedari kanak-kanak yang baru belajar berjalan itu telah keluar dari rumah.

Menyedari kehilangan mangsa, Nor Syamimi bergegas mencarinya dan terdengar suara kanak-kanak menangis sebelum menemui mangsa terbaring di dalam garaj tersebut dan terus membawanya ke HGM sebelum disahkan meninggal dunia 30 minit kemudian.

Mohd Hafezul berkata, kejadian itu telah dimaklumkan kepada isterinya yang kini bekerja sebagai jururawat di Arab Saudi.

"Isteri saya bertolak pulang ke tanah air pagi ini dan jenazah anak saya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kesedar Putra selepas solat Asar petang ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintedan Mohd Taufik Maidin berkata, pemandu kereta bersama pengasuh kanak-kanak itu telah diambil keterangan untuk siasatan lanjut. - Bernama