Batal bazar Ramadan langkah terbaik bendung Covid-19

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Meskipun terbayang-terbayang tiada lagi juadah beraneka rasa terhidang di atas meja semasa berbuka puasa, namun bagi rata-rata masyarakat termasuklah Badan Bukan Kerajaan (NGO), merasakan keputusan membatalkan bazar Ramadan adalah yang terbaik, bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Bagi Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Ridzuan Abdullah, ini bukan masanya untuk memikirkan untung dan rugi, memandangkan bazar Ramadan berisiko menyumbang kepada penularan Covid-19, memandangkan ia menjadi tumpuan ramai orang.

Iklan
Iklan

"Kes Covid-19 ini pun belum tentu habis bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu tamat, jadi orang ramai masih lagi bimbang untuk keluar... walaupun aspek keselamatan pemakanan dan kebersihan dipatuhi, ia tetap tidak cukup menghalang penularan wabak sepanjang musim bazar Ramadan, jika ia dilaksanakan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Dengan PKP yang besar kemungkinan akan dilanjutkan sehingga ke bulan Ramadan, dijangkakan hampir 99 peratus peniaga kecil akan menghadapi krisis kewangan dan ekonomi keluarga, bagi tempoh tiga hingga empat bulan mendatang.

Iklan

Tambahnya, peniaga bahan bukan makanan dijangka mengalami kerugian yang teruk, berbanding peniaga juadah makanan.

"Ada antara mereka yang sudah menempah pakaian bundle dari luar negara, pakaian Muslim dan Muslimah dari pembekal, penjahit dan pemborong-pemborong kain...ini semua melibatkan kos yang besar kerana melibatkan modal pusingan, sewa yang tinggi, bahan mentah dan kos tinggi, dalam mendapatkan tempahan dari luar," katanya.

Iklan

Sebagai alternatif, Ridzuan menyarankan agar kerajaan boleh mewujudkan satu platform atau sistem, bagi menempatkan jualan dan produk peniaga bazar yang terjejas.

"Sebagai contoh, e-bazar jualan khas bagi peniaga bazar. Dalam masa yang sama, peniaga bazar sewajarnya sudah mempunyai perancangan dan persediaan yang realistik, sekiranya bazar ramadan dibatalkan," katanya.

Berkongsi pendapat yang sama, Presiden Pertubuhan Pembangunan dan Inovasi Wanita (Wadi) Sukmamurni Abdul Manaf berkata, peralihan ke perniagaan atas talian atau e-dagang harus dilihat sebagai jalan penyelesaian terbaik buat masa ini.

"Komuniti penjaja dan peniaga termasuk wanita, disaran memulakan konsep e-bazaar Ramadan, namun harus mengekalkan arahan kerajaan seperti jarakan sosial dan penghantaran tanpa sentuhan.

"Kerajaan pula disaran membantu rangsangan rantaian bekalan tempatan mungkin melalui insentif dalam bidang logistik dan pengangkutan...kami percaya walau bazar Ramadan dibatalkan, para peniaga sentiasa akan cari jalan penyelesaian," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) Mohamed Zamri Mohammed pula berkata, walaupun ada cadangan daripada pihak kerajaan yang dilihat agak menyakinkan, termasuk mengadakan bazar dalam suasana lebih kemas, teratur dan selamat, namun ianya bergantung kepada arahan PKP.

"Ramai peniaga mengharapkan bazar Ramadan diteruskan, walaupun secara kecil-kecilan kerana ia sudah dianggap sebagai satu tradisi di bulan puasa... cadangan bazar Ramadan dilakukan secara talian pula menarik, namun perlu dipastikan ia dapat dilakukan secara menyeluruh.

Bagi peniaga makanan, Kamarul Anuar Mohamed Nasir, 38, beliau akur dengan ketetapan kerajaan Selangor untuk membatalkan bazar Ramadan di negeri itu, meskipun telah mengatur strategi perniagaan untuk jualan set nasi penyet di bazar Ramadan Bandar Kinrara.

"Tidak dinafikan saya rasa sedih, sebab saban tahun bazar Ramadan adalah lubuk rezeki kami para peniaga, tetapi saya akur jika ini adalah jalan terbaik untuk mengawal Covid-19.

"Meskipun saya ada restoran, namun jumlah pendapatan untuk restoran jatuh ketika bulan Ramadan sebab waktu niaga yang singkat berbanding hari biasa... maka dengan tiadanya bazar Ramadan, saya akan mencuba nasib dengan penghantaran makanan, selain jualan di restoran," kata pemilik restoran, Tempat Makan Lesehan di Seri Kembangan itu.

Dalam pada itu, tinjauan di laman sosial mendapati topik bazar Ramadan terus diperkatakan, antaranya @M_HarithRoslan berkata, pembatalan bazar Ramadan sahaja tidak memadai sekiranya pusat beli belah dan pasar raya dibuka dan dibanjiri orang ramai seperti biasa selepas tamatnya PKP.

"Let’s say MCO ends on 14th as scheduled, people gonna flock to malls instead, unless current directive holds... current directive should continue even after MCO... no bazaar, no mall, no nothing... nak iftar di masjid atau padang pun tidak boleh," katanya. (Katakan PKP berakhir pada 14 April seperti dijadualkan, orang ramai sebaliknya akan beramai-ramai ke pusat membeli belah, kecuali arahan seperti sekarang diteruskan... perintah seperti sekarang perlu diteruskan walaupun selepas PKP... tiada bazar, tiada membeli belah, tidak ada apa... berbuka di masjid dan padang juga tidak boleh).

Hingga ke hari ini, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Selangor dan Kedah, telah membuat keputusan untuk membatalkan bazar Ramadan di negeri, manakala Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar juga sudah menegaskan, bazar Ramadan tidak sesuai diadakan di negeri itu disebabkan risiko berlaku kontak rapat yang amat besar. - Bernama