PELABUHAN KLANG - Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan penyeludupan ketam nipah dan lokan bernilai RM75,500 dari negara jiran dalam operasi di Laut Tanjung Gabang, Kuala Langat semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Hazri Zakaria berkata, cubaan penyeludupan itu berjaya digagalkan anggotanya dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semasa menjalankan rondaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di perairan Selangor kira-kira jam 11 pagi.
"Bertindak atas maklumat, Pasukan Gerakan Udara dan Unit Udara APMM telah mengesan sebuah bot yang mencurigakan bergerak dari perairan antarabangsa ke Laut Tanjung Gabang.
"Bot ronda anggota PPM dan APMM kemudian terus menghala ke lokasi terbabit dan tiba di kawasan pesisiran, namun bot ronda tidak dapat menghampiri kawasan itu atas faktor keadaan paras air yang surut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Hazri berkata, satu pasukan Unit Gempur Marin (Ungerin) yang berada di kawasan tersebut telah membuat pintasan melalui jalan darat dan berjaya menahan sebuah bot di kawasan hutan bakau.
Katanya, pemeriksaan ke atas bot tidak bernombor tersebut menemui 17 bakul ketam nipah dan 10 guni lokan yang dipercayai diseludup dari negara jiran.
"Suspek disyaki seorang warga Indonesia bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis," katanya.
Tambahnya, kes telah diserah kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) untuk siasatan di bawah Akta Maqis 2011.