KUALA SELANGOR -"Tak sangka ulang tahun anak yang bongsu hari ini, Acit pergi tinggalkan kami selamanya," demikian kata ibu kepada Allahyarham Muhammad Aryan Iman Abdullah, 7, yang maut dalam kemalangan di KM1 Jalan Kuala Selangor-Rawang di Jalan Teluk Piah, pagi tadi.
Mangsa bersama seorang lagi sepupunya membonceng motosikal yang ditunggang bapa saudaranya Mohd Rozaini Ismail, 47, yang turut maut dalam kejadian itu.
Ibu tunggal, Lizawati Osman, 37, berkata, dia sempat membekalkan makanan untuk anaknya makan semasa rehat dan sempat pesan kepadanya jangan makan dalam kelas.
"Sebab sebelum ini ada cikgu maklum dia makan dalam kelas...macam biasa dia suka usik dan kata boleh saja makan dalam kelas.
"Pagi tadi macam biasa dia teruja nak pergi sekolah dan sempat cium dan salam sebelum bonceng satu motosikal dengan sepupunya," katanya yang masih terkejut dengan kehilangan anak keduanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Murid tahun 1 maut dilanggar lori]
Kakaknya, Asidah Osman, 44, turut bersedih mengenangkan nasib anaknya, Muhammad Saifulbahari Mohd Rozaini, 7, yang masih koma dan masih mendapatkan rawatan di hospital.
"Mak angkat bagi tahu Bahari asyik panggil mak... ayah...walaupun masih belum sedar lagi tapi mulutnya asyik panggil kami...mungkin meracau agaknya.
"Saya masih terkejut dan macam tak percaya sebab benda ni berlaku tiba-tiba...pagi tadi Bahari memang macam kelam kabut nak pergi sekolah sedangkan tak lambat pun.
"Saya pun terkilan sebab pagi tadi Bahari pun tak sempat nak salam...mereka berdua tu memang rapat macam kembar dan selalu bersama.
"Tak tahulah macam mana keadaannya nanti dan kami pun nak masih tak tahu keadaannya sekarang ni... Nak uruskan hal kat rumah sebelum ke hospital," katanya sebak.
Terdahulu, jenazah kedua mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Teluk Piai, kira-kira 2.30 petang dan dihadiri hampir 200 ahli keluarga serta penduduk setempat.