Peniaga 'cekik darah' diberi notis

Iklan
Ching Chung menunjukkan harga nasi goreng ayam yang dijual dengan harga RM7.50 di salah sebuah restoran nasi kandar, di sini.

ALOR SETAR - Dua buah restoran nasi kandar di daerah ini diberi notis oleh Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, kerana menawarkan harga yang tidak munasabah bagi menu nasi goreng ayam dan bihun goreng ayam.

Ketua Pegawai KPDNHEP, Chin Ching Chung berkata, restoran pertama menjual nasi goreng ayam pada harga RM7.50 manakala restoran kedua menjual bihun goreng ayam dengan harga RM8.50 sepinggan.

Iklan
Iklan

Katanya, kedua-dua restoran berkenaan didapati mengambil untung berlebihan kerana lazimnya makanan berkenaan dijual antara RM6 hingga RM6.50 sahaja sepinggan.

"KPDNHEP telah mengeluarkan notis dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kepada pemilik restoran tersebut.

Iklan

"Mereka juga diberi tempoh selama 10 hari untuk mengemukakan maklumat atau dokumen terlibat bagi menjustifikasikan harga makanan yang tinggi itu," katanya pada sidang media selepas mengadakan operasi bersepadu di dua buah restoran di sini, hari ini.

Menurutnya, setelah menerima semua dokumen yang diperlukan, KPDNHEP akan membuat analisa untuk mengenal pasti sama ada wujudnya unsur pencatutan atau sebaliknya.

Iklan

"Sekiranya ada (pencatutan) kita akan bawa kes ini ke mahkamah untuk tindakan seterusnya," katanya.

Terdahulu, KPDNHEP bersama beberapa agensi termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar mengadakan pemeriksaan di dua buah restoran berkenaan.

Operasi bersepadu ini melibatkan 30 pegawai yang melakukan pemeriksaan daripada pelbagai aspek termasuk kebersihan, isu halal dan harga.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Halal ( Bahagian Pengurusan Halal) JHEAIK, Syeikh Azhari Mohamad berkata, pihaknya juga mengarahkan pemilik restoran pertama menurunkan ayat-ayat menyerupai al-Quran yang digantung di premis mereka agar tidak mengelirukan pengguna.

Tambahnya, setakat tahun lalu, pihaknya menerima hampir 450 permohonan halal daripada premis makanan, produk makanan, rumah sembelihan dan lain-lain lagi.