SERDANG - Sebanyak 40 hospital di seluruh negara diwartakan sebagai hospital wabak koronavirus (Covid-19).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah katil yang turut diwartakan untuk pesakit wabak itu pula berjumlah 6,917.
Iklan
Iklan
"Kerajaan juga memperuntukkan jumlah katil yang besar untuk pesakit kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) iaitu sebanyak 410 buah.
"Bagi jumlah ventilator khusus untuk kegunaan pesakit Covid-19 pula ialah sebanyak 634 unit," katanya pada sidang akhbar sempena Lawatan Khas Media ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Adham berkata, ketika ini ada negeri yang mempunyai sehingga tiga buah hospital yang dikhususkan bagi merawat pesakit yang dijangkiti pandemik itu.
"Bagi 40 hospital Covid-19 yang kita gazetkan, setakat ini penggunaannya sekitar 29 peratus (jumlah pesakit) yang sedang dirawat atau menerima perkhidmatan," katanya.
Jelasnya, beliau yakin dengan persediaan rapi yang dilakukan lebih awal proses untuk rawatan untuk pesakit wabak itu dapat dilakukan dengan sebaiknya.