BNM sedia rangka kerja pengurusan risiko

Iklan
Bank Negara Malaysia

BANK Negara Malaysia (BNM) telah menyediakan rangka kerja pengurusan risiko yang membantu memastikan operasi dan aktiviti bank dijalankan secara berhemat dan bertanggungjawab.

Menurut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2019 yang dikeluarkan hari ini, BNM berkata, ia mengambil pendekatan bersepadu dan kohesif terhadap pengurusan risiko bagi memastikan risiko utama yang dihadapi oleh organisasi dikenal pasti, dinilai, dipantau dan diurus secara berkesan.

Iklan
Iklan

"Selain struktur dan proses formal, BNM menekankan budaya risiko yang mantap untuk menggalakkan kesedaran risiko dan komunikasi secara terbuka mengenai risiko. Matlamat bank adalah semua kakitangan, pada semua peringkat dan seluruh organisasi, mampu dan bersedia untuk mengenal pasti, memahami, memaklumkan dan menangani risiko yang dihadapi bank.

"Struktur tadbir urus risiko BNM menekankan tanggungjawab bersama terhadap risiko yang bermula daripada setiap operasi bank dan diperkukuh melalui fungsi pengurusan dan kawalan risiko yang mantap," katanya.

Iklan

Bagi menyokong lembaga pengarah dan pihak pengurusan melaksanakan fungsi pengawasan terhadap risiko, tanggungjawab untuk menangani dan mengurus risiko dari dalam organisasi diberikan dengan jelas melalui model 'pertahanan tiga barisan'.

Jabatan-jabatan, sebagai barisan pertahanan pertama, bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan menilai risiko bagi aktiviti dalam bidang urusan masing-masing, serta melaksanakan kawalan dan memastikan kawalan tersebut berkesan.

Iklan

"Sebagai barisan pertahanan kedua, Jabatan Pengurusan Risiko berfungsi sebagai pengurusan risiko pusat yang bebas. Jabatan ini mengukur, memantau dan melaporkan risiko pada peringkat organisasi, selain membangunkan dan mengawasi pelaksanaan rangka kerja dan dasar berkaitan risiko.

"Sebagai barisan pertahanan ketiga, Jabatan Audit Dalam memberikan jaminan bebas kepada lembaga pengarah, jawatankuasa audit lembaga dan pihak pengurusan mengenai keberkesanan amalan pengurusan risiko dan kawalan dalaman organisasi," katanya.

Bagi mengurus risiko kewangan, BNM memantau dedahan risiko pasaran, mudah tunai dan kreditnya dengan teliti, serta melaksanakan had dan kawalan risiko.

"Dalam portfolio rizab antarabangsa BNM, pelaburan diperuntukkan berpandukan tanda aras pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Pengarah, yang menggariskan kesanggupan jangka panjang bank untuk mengambil risiko dan mendapatkan pulangan.

Penyimpangan daripada tanda aras ini dikawal menggunakan had risiko, pengaturan tadbir urus dan garis panduan pelaburan.

"Bank juga menyediakan rangka kerja risiko kredit yang menggariskan pelaburan dan aktiviti yang dibenarkan. Bagi operasi am bank seperti penyediaan belanjawan, pemerolehan dan pembayaran, tadbir urus dan kawalan dilaksanakan untuk memastikan bank memperuntukkan perbelanjaannya dan mengurus kewangan secara berhemat," katanya. - Bernama