BNM tambah baik proses tuntutan insurans, takaful kenderaan bermotor

Iklan
BNM

BANK Negara Malaysia (BNM) sedang mengkaji semula piawaian sedia ada mengenai panduan garis masa yang perlu dipatuhi oleh penanggung insurans dan pengendali takaful apabila memproses tuntutan.

Berdasarkan artikel bertajuk 'Penambahbaikan Proses Tuntutan Kenderaan Bermotor’ dalam Laporan Tahunan BNM 2019 yang dikeluarkan hari ini, bank pusat berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan tempoh masa yang diambil bagi memproses tuntutan melalui pemberian maklumat dan penzahiran yang menyeluruh.

Iklan
Iklan

"BNM juga terus menyediakan persekitaran pengawalseliaan yang menggalakkan industri menggunakan penyelesaian teknologi untuk memendekkan lagi tempoh membuattuntutan,” kata BNM.

Justeru, BNM mahu industri insurans dan takaful perlu terus berusaha untuk memudahkan dan mempercepatkan proses pengurusan tuntutan.

Iklan

Selain itu, pemandu perlu mempunyai pemahaman yang betul mengenai proses membuat tuntutan, sekali gus menjadi antara strategi yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan proses tuntutan insurans dan takaful, menurut BNM.

BNM telah mewajibkan penanggung insurans dan pengendali takaful untuk menyediakan panduan yang standard mengenai langkah yang perlu diambil apabila pemandu terlibat dalam kemalangan.

Iklan

"Panduan ini perlu disertakan bersama polisi insurans motor dan juga boleh didapati di laman sesawang penanggung insurans dan pengendali takaful,” kata BNM.

Pada 2013, industri insurans dan takaful telah mewujudkan talian Bantuan Kemalangan 1300-22-11-88, sebagai talian bantuan yang berfungsi 24 jam sehari untuk memberi nasihat serta bantuan kepada pemanggil yang terlibat dalam kemalangan.

Pemanggil juga boleh bertanya mengenai perlindungan insurans dan prosedur tuntutan, kata bank pusat.

BNM juga berkata, agensi sektor awam yang terlibat dalam menyelia sektor pengangkutan dan kenderaan bermotor di Malaysia juga memainkan peranan yang penting.

"Pengawalan dan penguatkuasaan yang berkesan bagi menggalakkan tingkah laku profesional serta mencegah penipuan dan salah guna juga penting untuk memelihara integriti pembaikan kenderaan motor, rawatan kecederaan dan proses tuntutan,” kata bank pusat.

Sebagai contoh, BNM menetapkan dan menguatkuasakan piawaian minimum yang jelas untuk kerja pembaikan akan meningkatkan tahap profesionalisme bengkel secara keseluruhannya, menambah keyakinan pengguna dan mengurangkan skop pertikaian semasa penyelesaian tuntutan.

Proses tuntutan kemalangan dan motor juga boleh diperbaiki secara keseluruhannya, kata BNM.

"Mekanisme penyelesaian pertikaian yang berkesan yang melibatkan penimbang tara bebas bagi menyelesaikan sebarang rasa tidak puas hati adalah juga penting,” kata BNM.

Bagi pihak yang menuntut, bank pusat itu berkata, langkah ini membolehkan proses tuntutan diselesaikan dengan lebih cepat, kerja pembaikan kenderaan dibuat oleh pihak yang dipercayai dan pampasan kewangan diperoleh dengan segera sekiranya berlaku kecederaan. - Bernama