Patuhlah fatwa larangan solat Jumaat: Zulkifli

Iklan
Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR - Umat Islam di negara ini perlu kekal patuh kepada arahan kerajaan dan fatwa pihak berkuasa agama mengenai larangan melaksanakan solat Jumaat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hari ini masuk kali ketiga umat Islam tidak dapat menunaikan solat Jumaat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan oleh kerajaan pada 18 Mac lepas.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, biarpun PKP masih berkuat kuasa, arahan itu diteruskan kerana umat Islam masih berada dalam darurat kesihatan akibat penularan wabak penyakit berjangkit koronavirus (Covid-19).

"Kami merasa risau apabila diberitahu oleh pihak keselamatan terdapat segelintir pihak yang berkeras mahu menunaikan solat Jumaat pada hari ini.

Iklan

"Alasan mereka kerana terdapat hadis yang menyebut bahawa sesiapa yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali, maka ia termasuk dalam golongan munafik.

"Ingin ditegaskan, bahawa apa yang didakwa ini adalah suatu kesalahfahaman yang jelas! Maka, kami katakan golongan yang dicap sebagai munafik itu adalah mereka yang meninggalkan tiga kali Jumaat dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran,” katanya menerusi ciapan di Twitternya hari ini.

Iklan

Zulkifli berkata dalam isu Covid-19, ia satu wabak penyakit berjangkit dan bersifat maslahah ‘ammah (kemaslahatan umum) yang mana rakyat disuruh untuk kuarantin dan duduk di rumah dan itu yang perlu diutamakan.

"Sesungguhnya kita semua mahu segera keluar daripada kemelut pandemik ini, namun ia memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak terutama diri kita sendiri. Jangan pergi masjid! Solatlah Zuhur berjemaah di rumah atau di tempat masing-masing,” katanya. - Bernama