SHAH ALAM - Sebanyak 97 lokasi pasar segar terkawal (PST) dibuka di seluruh Malaysia bermula semalam bagi memastikan kelangsungan bekalan dan percekapkan pengedaran bekalan makanan negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam satu kenyataan berkata, konsep jualan dan pengedaran PST ini dibuat di outlet peruncitan terpilih secara berperingkat.
"Pengoperasian PST melibatkan 63 lokasi outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara iaitu 10 Pasar Tani Terpilih, 33 Pasar Tani Kekal, 17 Pusat Operasi FAMA dan tiga MyFarm Outlet," kata kementerian itu.
Menurutnya, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) turut menyediakan 34 Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan (KPPK) untuk tujuan sama.
"Keseluruhan 97 lokasi ini akan melibatkan jualan barangan segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan, daging, barangan runcit dan barangan asas tani. Kesemua outlet itu dijenamakan semula sebagai PST
"Bagi fasa pertama pelaksanaan PST, sebanyak 37 outlet Fama di seluruh Malaysia dan 17 buah KPPK diselia LPP telah beroperasi sejak semalam bagi fasa kedua, sebanyak 10 Pasar Tani Terpilih dan 16 Pasar Tani Kekal akan beroperasi," katanya.
FAMA memfokuskan pengedaran bekalan makanan yang berkesan sepanjang tempoh PKP dengan memperkemaskan lagi konsep jualan secara online iaitu Agrobazaar Online dan offlline melalui rangkaian outlet pemasaran terpilih.
Katanya, para pelanggan digalakkan untuk melayari portal www.agrobazaar.com.my untuk membuat pesanan awal atau WhatsApp secara pra-pesanan.
"Bayaran boleh dibuat terus secara online bagi memudahkan urusan pengambilan di pick-up point dan urusan pandu lalu (drive-thru) di outlet pemasaran terpilih.
"Ia bertujuan menjaga penjarakan sosial seperti dinasihatkan oleh pihak Kementerian Kesihatan bagi mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).
"Dalam pematuhan pencegahan wabak Covid-19 di 97 lokasi ini, jarak sosial di antara gerai yang berniaga akan dilakukan, sementara pintu masuk dan keluar akan dikawal selia pihak berkuasa.
"Para pengguna juga dinasihatkan untuk membuat bayaran secara online dan tanpa tunai sama ada melalui pembayaran QR Pay dan e-wallet supaya dapat membendung penularan Covid-19 melalui wang kertas," katanya.
Selain itu, setiap outlet pemasaran FAMA perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi pengunjung yang ingin mendapatkan bekalan makanan semasa tempoh PKP ini.
Menurut kenyataan itu lagi, antara SOP yang ditetapkan adalah pengunjung beratur dengan jarak 1 meter serta melepasi saringan suhu, mengunakan pembasmi kuman yang disediakan, masa dibenarkan selama 10 hingga 20 minit dan pengunjung perlu membasmi kuman sebelum keluar.
"Pengguna yang membuat pembelian secara pandu lalu di outlet ini perlu dipatuhi SOP iaitu menyerahkan borang tempahan kepada petugas dan menunggu di kawasan yang disediakan, petugas akan menghubungi pengguna bagi pengambilan dan bayaran terus dibuat semasa serahan barangan.
"Bagi pengguna yang membuat pra-pesanan melalui portal Agrobazaar Online atau media sosial, SOP yang perlu dipatuhi ialah pesanan akan dibuat melalui platform media sosial bermula jam 8 pagi hingga 4 petang.
"Penghantaran akan dibuat pada hari berikutnya melalui kaedah 'dropship' atau 'self pick up' dan bayaran akan dibuat dalam talian atau secara 'cash of delivery' (COD)," katanya.