TANJONG KARANG - Seorang pengusaha percetakan kerugian RM3,800 selepas basikalnya dicuri dalam kejadian di Kunci Air Buang di sini pagi tadi.
Mohamad Nor Hazri Jamalludin,28, berkata, basikal jenis Camp Carbon itu disedari hilang kira-kira jam 7.30 pagi.
Menurutnya, dia yang berada di luar rumah terkejut apabila basikal yang diletakkan di garaj hadapan rumah tidak kelihatan.
"Pada mulanya saya ingatkan ada sesiapa yang meminjam basikal, namun setelah bertanya keluarga mereka memaklumkan tiada sesiapa yang menggunakan basikal dan kemungkinan ia telah dicuri," katanya.
Mohamad Nor berkata, kehilangan basikal itu amat dirasai apatah lagi baharu empat bulan membeli basikal berkenaan.
"Saya pelik sebab hanya basikal baharu saja dilarikan pencuri sedangkan ada juga beberapa basikal termasuk jenis lipat diletakkan di tempat sama tidak dicuri," katanya.
Katanya, dia membuat laporan polis di Balai Polis Tanjong Karang jam 10.30 pagi tadi.
"Saya juga difahamkan terdapat kes kecurian basikal berlaku di daerah ini selepas membaca komen pada status di Facebook.
"Saya berharap pihak tidak bertanggungjawab yang menjalankan kegiatan curi basikal ini dapat diberkas agar tiada lagi mangsa terlibat dalam kes berkenaan," katanya.