Imigresen nafi penumpang berlepas guna 'kabel'

Iklan
Gmbar yang tular di media sosial berhubung dakwaan diberikan perlepasan Imigresen.

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menafikan kenyataan bergambar yang tular di media sosial mengenai tiga penumpang yang berlepas ke semenanjung dari Tawau, Sabah menggunakan 'orang dalam' jabatan itu.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, siasatan mendapati bahawa dakwaan penumpang tersebut tidak benar.

Iklan
Iklan

"Imigresen Sabah berhubung dengan penumpang berkenaan bagi mendapatkan penjelasan dan dimaklumkan bahawa dia hanya menghubungi pegawai Imigresen untuk bertanya status kebenaran berlepas ke Semenanjung dan bukannya menggunakan 'orang dalam' seperti yang didakwa.

"Dia telah memohon maaf kepada jabatan pada jam 11.20 pagi hari ini dan berjanji akan memadam kenyataan bergambar tersebut di media sosial," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Menurutnya, berdasarkan peraturan warga negara ini tidak dihalang untuk meninggalkan Sabah dan tidak perlu mendapat kebenaran khas Imigresen tetapi perlu melalui pemeriksaan biasa sahaja.

"Mengikut peraturan Imigresen berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua warganegara Malaysia yang sedang bercuti, belajar atau bekerja dan bertugas rasmi di Sabah atau Sarawak tidak dihalang untuk kembali ke Sabah dan Sarawak atau sebaliknya atas faktor kemanusiaan.

Iklan

"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika membuat kenyataan di media sosial yang mencemarkan imej jabatan kerajaan sebagai pemberi perkhidmatan di barisan hadapan sepanjang tempoh PKP," katanya.

Terdahulu, kenyataan bergambar itu tular kelmarin kononnya diberikan pelepasan ke semenanjung dengan bantuan 'bos Imigresen' walaupun dalam tempoh PKP.