IPOH - Seorang warga emas yang terputus bekalan makanan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menarik nafas lega apabila menerima bantuan daripada MyFundAction Cawangan Perak.
Khairuddin Mat Zin, 66, yang tinggal berseorangan di rumahnya di Taman Maju Rapat di sini terpaksa mendapatkan ihsan jiran dan rakan-rakan arwah anaknya untuk meneruskan hidupnya.
Katanya, keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan selain kurang upaya menyebabkan pergerakannya turut terbatas.
"Setakat ini tiada bantuan diterima dan ini yang pertama. Pakcik ada mohon bantuan tapi belum dapat lagi. Mujur ada yang simpati dengan keadaan pakcik ini.
"Kadang-kadang ada orang bagi lebih makanan tapi pakcik tak boleh nak simpan sebab peti ais rosak. Kalau ada yang sudi nak bagi peti ais, Pak cik berharap sangat," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan keperluan asas daripada MyFundAction Cawangan Perak, di rumahnya hari ini.
Dalam pada itu, sebuah keluarga di Kampung Tersusun Jelapang, di sini turut menerima sumbangan sama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.
Nazatul Shima Mohammad Isa, 33, mengakui terkesan dengan pelaksanaan PKP apabila suaminya, Mohd Hafiz Sabudin, 33, yang bekerja sebagai kelindan lori ais terpaksa bercuti sementara.
Surirumah itu berkata, suaminya bekerja menerima gaji harian sebanyak RM40 untuk menampung perbelanjaan lima anak mereka.
"Sepanjang pelaksanaan PKP ini, kami sekeluarga pernah terputus bekalan makanan tapi Alhamdulillah, ada orang hantar bantuan.
"Memang kami berjimat-jimat makan. Mujurlah bil elektrik dan air tak banyak kena bayar. Saya memang tak kerja, gaji harian suami disimpan untuk bayar rumah sewa dan keperluan lain," katanya.
Menurut Nazatul Shima, keperluan harian setakat ini mencukupi namun tidak berkemampuan untuk membeli susu anaknya yang berusia tiga tahun.
Katanya, dia cuba membancuh susu krimer pekat menggantikan susu formula tetapi anaknya tidak mahu minum.
Dalam pada itu, Penasihat MyFundAction Cawangan Perak, Ahmad Umair Zulkefli berkata, sehingga kini sebanyak 200 kotak makanan bernilai RM150 diedarkan di sekitar Perak.
Katanya, pemilihan penerima berdasarkan data sedia ada melalui Program MyRezeki Umat yang dilaksanakan sebelum ini.
Beliau berkata, bantuan turut disalurkan kepada pelajar universiti dengan pemberian makanan siap masak.
Menurut Ahmad Umair, bagi penyerahan sumbangan kotak makanan hari ini, seramai lapan keluarga dipilih di sekitar Ipoh.
Jelasnya, pemberian kotak makanan itu akan diteruskan dan orang ramai yang berhasrat menyumbang boleh melayari Facebook dan Instagram MyFundAction.