SINTOK - Pusat Pengajian Pengkomputeran Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui MCMC-UUM MakerSpace menghasilkan lebih 1,000 pelindung muka untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan di hospital yang memerlukan.
Pensyarah UUM yang juga Penyelidik MCMC-UUM MakerSpace, Ahmad Hanis Mohd Shabli berkata, inisiatif bersama lima lagi rakannya menamakan pasukan mereka sebagai Kedah Perlis 3DP Covid mencetak dan mengubah suai pelindung muka mengikut kesesuaian di hospital.
"Kami menggunakan 15 unit mesin pencetak 3D untuk menghasilkan lebih banyak pelindung muka bagi kegunaan petugas barisan hadapan. Kami memulakan proses mencetak dan mengubah suai sejak pelaksanaan PKP,” katanya.
Menurutnya, projek ini turut mendapat kerjasama 3D Printing Group Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang memberi sumbangan bahan mentah dan koordinasi.
"Sehingga kini, lebih 1,000 pelindung muka sudah dicetak dan diserahkan bukan sahaja kepada hospital malah klinik kesihatan dan balai polis sekitar Kedah dan Perlis,” katanya.
Ahmad Hanis juga berharap sumbangan tersebut dapat membantu petugas dan sukarelawan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan tugas dengan lebih selamat.