GEORGETOWN - Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di laut dan pantai menunjukkan peningkatan sehingga 98 peratus.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, sehingga hari ini, pemantauan mendapati tiada orang awam yang ingkar PKP termasuk memancing di bawah jambatan.
Menurutnya, sejak PKP dilaksanakan, polis Marin sentiasa menjalankan pemantauan di Wilayah Satu iaitu sepanjang 730 batu nautika bermula Pulau Langkawi, Kuala Perlis hingga ke Sepang.
"Orang ramai kini sudah patuh arahan, tidak keluar melakukan aktiviti luar seperti memancing atau berkelah
Kerjasama ini perlu untuk memutuskan penularan wabak Covid-19 ini," katanya pada sidang akhbar di Markas PPM Batu Uban di sini hari ini.
Terdahulu, tinjauan media bersama PPM di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam, Jambatan Pulau Pinang, Pulau Jerejak dan Batu Uban mendapati tiada individu beriadah atau berkelah.
Rosman berkata, sebelum ini Batu Uban dan Pulau Jerejak menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah.
"Ini menunjukkan, masyarakat kita mula mematuhi PKP. Kita juga membuat hebahan melalui bot ronda supaya tidak memancing dan berada di tepi pantai, pelantar ikan tau jeti awam.
Beliau juga memaklumkan kadar jenayah di laut menurun lebih 50 peratus sepanjang PKP.
Tambahnya, sepanjang PKP, PPM turut terlibat secara langsung dengan kekuatan hampir 100 anggota selain turut dibantu agensi lain.
"Sebanyak sembilan bot peronda digunakan untuk membuat pemantauan selain menjaga sempadan.
"Sepanjang operasi PKP terdapat tiga kes yang diberi amaran supaya bersurai," katanya.