Falsafah Pendidikan untuk Kesejahteraan

Iklan
Dr. Yasir Mohd Mustafah

SAYA tertarik dengan artikel di dalam Sinar Harian bertarikh 17 Mac 2020 yang bertajuk"Dayusnya Falsafah Pendidikan” yang tulis oleh rakan pensyarah pemikiran kritis di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Penulis telah melabelkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) sebagai dayus kerana pada tanggapan beliau FPK hanya mengikut telunjuk UNESCO yang dikuasai kuasa-kuasa besar yang tidak mahu dicabar oleh generasi yang kompetitif. Tanggapan ini tidaklah tepat kerana FPK (yang pada mulanya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara) sebenarya telah digubal lebih awal berbanding"Empat Tonggak Pembelajaran” UNESCO (kini telah ditambah dengan tonggak kelima iaitu"Learning to transform one self and society”).

Iklan
Iklan

Falsafah pendidikan telah digubal oleh sekumpulan pemikir tempatan hebat pada tahun 1988, manakala"Empat Tonggak Pembelajaran” UNESCO pula telah diperkenalkan 8 tahun kemudiannya, iaitu pada tahun 1996. Oleh yang demikian, adalah tidak benar jika dikatakan yang FPK"takliq buta” kepada UNESCO. Walaupun begitu, perlu dinyatakan bahawa matlamat pendidikan menurut FPK dan UNESCO adalah seiring dan sama baiknya iaitu untuk membawa kepada keharmonian dan kemakmuran sejagat.

Penulis juga mempersoalkan ketiadaan perkataan"kompetitif” atau"berdaya saing” di dalam FPK yang menyebabkan FPK pada pandangan beliau menjadi dayus. Hakikatnya, FPK dengan secara tersurat mengatakan pendidikan adalah usaha berterusan untuk melahirkan insan yang"seimbang dan harmonis” berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Iklan

Dengan kata lain pendidikan bertujuan melahirkan insan yang sejahtera. Secara tersiratnya, seseorang yang sejahtera itu haruslah berkebolehan untuk berdaya saing (dengan cara yang baik). Pada masa yang sama, seseorang yang sejahtera itu juga haruslah boleh mengimbangi sifat kompetitifnya dan merendah diri dalam berkolaborasi dan bekerjasama demi mencapai keharmonian dan kemakmuran.

Kita semua adalah khalifah yang bertanggung jawab untuk memelihara bumi yang kita kongsi bersama. Adkalanya kita perlu berkolaborasi (tidak sentiasa bersaing) bagi memastikan pembangunan yang dijalankan adalah pembangunan yang lestari (Sustainable Development).

Iklan

Daya Saing tidak Seimbang

Pendidikan di negara ini sebenarnya telah terpesong dari landasan FPK dan lebih dipengaruhi oleh ideologi kapitalisme yang diperjuangkan oleh kuasa-kuasa besar barat yang terlalu menitik beratkan nilai"daya saing”. Tujuan pendidikan di era kapitalisme masa kini adalah untuk melahirkan pekerja yang berkebolehan tinggi dan berdaya saing bagi mengisi keperluan"modal insan” terutamanya di dalam bidang industri.

Atas kegilaan untuk berdaya saing demi pekerjaan ini, pendidikan yang sepatutnya berteraskan nilai bertukar kepada pendidikan yang hanya mementingkan ilmu dan kemahiran semata-mata. Institusi pendidikan kini dianggap sebagai kilang untuk menghasilkan produk yang berlabel"modal insan”.

Masyarakat pula, secara umumnya, obses kepada kedudukan institusi pendidikan di dalam ranking-ranking popular atas alasan akan memudahkan mereka mendapat pekerjaan. Visi dan misi institusi pendidikan yang bertonggakkan nilai tidak begitu dipentingkan."Permainan” ranking kini tumbuh bagai cendawan untuk mengeksploitasi institusi pendidikan.

Ranking-ranking ini mempromosikan indikator palsu tentang kualiti dan daya saing sesebuah institusi dan membanding-bandingkan antara mereka. Akibatnya, institusi pendidikan tertekan dan terpesong dari landasan asal mereka yang sepatutnya berteraskan FPK. Pendidikan kini dianggap satu komoditi yang perlu dipromosi dan diiklankan. Akibatnya juga, institusi pendidikan yang sepatutnya berkolaborasi bersama dalam mendidik masyarakat menjadi lebih cenderung untuk bersaing antara satu sama lain.

Malang sekali, daya saing dan pekerjaan yang diutamakan pendidikan masa kini sebenarnya tidaklah membawa kepada kesejahteraan. Statistik menunjukkan bilangan kes kemurungan di negara kaya atau negara yang lebih"berdaya saing" secara puratanya adalah lebih tinggi berbanding yang negara yang kurang berdaya saing.

Akibat terlalu bersifat kompetitif dan tiadanya kesejahteraan diri, seseorang itu tidak senang apabila melihat kejayaan orang lain dan akhirnya kemurungan. Kerosakan pada alam sekitar, kelebaran jurang ekonomi dan masalah sosial akibat pembangunan manusia yang tidak terkawal juga adalah lebih teruk di negara-negara yang lebih"berdaya saing".

Sejahtera

Kesejahteraan diri akan membawa kepada kesejahteraan sejagat. Kesejahteraan harus mula diterapkan dari awal menerusi pendidikan seperti yang digariskan FPK. Diri yang sejahtera adalah seimbang dari semua sudut, dalaman mahupun luaran.

Menurut Professor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak di dalam buku"Essay on Sejahtera”, kesejahteraan boleh dikecapi jika 10 ramuan (SPICES) bagi kesejahteraan dapat dapat diimbangi. 10 ramuan bagi kesejahteraan tersebut ialah rohani, fizikal-psikologi, intelektual, kognitif, budaya, etika, emosi, ekologi, ekonomi, dan sosial. Proses untuk mengimbangi ramuan kesejahteraan ini adalah satu proses yang berterusan dan perlu dipupuk melalui pendidikan dari awal.

Keseimbangan adalah satu elemen yang sangat ditekankan di dalam agama. Allah S.W.T berfirman di dalam surah ar-Rahman menekankan kepentingan keseimbangan:

"Dan langit ditinggikanNya, dan diadakanNya keseimbangan. Supaya kamu tidak melampaui batas dalam keseimbangan. Dan pastikan pengimbangan itu adil, serta janganlah dikurangkan keseimbangan itu.”.

Allah mengatur setiap perkara di dalam alam ini secara seimbang. Jikalau diganggu keseimbangan itu maka kemusnahan akan berlaku. Pada masa yang sama, Allah mengarahkan Manusia yang diberikan kebebasan memilih (free will) untuk bertanggung jawab memastikan dan memelihara keseimbangan dalam semua aspek kehidupan (ramuan SPICES) supaya mereka menjadi manusia yang sejahtera.

Berlandaskan FPK, insan sejahtera yang lahir dari usaha pendidikan adalah insan yang berkebolehan dan berdaya saing dalam mengawal diri dalam melawan anasir-anasir jahat, berdaya saing dalam melaksanakan amanah dalam pekerjaan dan berdaya saing dalam menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Mereka juga dapat berkolaborasi dalam pembangunan yang lestari (Sustainable Development) dan hidup secara harmoni. Mereka mampu menjadi khalifah atau pemimpin yang menjadi rahmat kepada seluruh alam (Rahmatan lil Alamin). Mereka mampu menjamin kemaslahatan dan menghindarkan kemudaratan untuk semua seperti yang digariskan oleh Maqasid Al-Syariah.

Kesimpulannya, menjadi kompetitif atau berdaya saing sahaja tanpa keseimbangan dan kesejahteraan akan mengakibatkan kemusnahan kepada diri, masyarakat, negara dan juga bumi.

FPK menggariskan usaha yang perlu dijalankan di dalam pendidikan bagi melahirkan insan sejahtera yang dapat memastikan keharmonian dan kemakmuran untuk semua. Keharmonian dan kemakmuran ini adalah suatu yang jauh lebih hebat dari Rumah Putih Amerika yang dinyatakan penulis artikel"Dayusnya Falsafah Pendidikan”. Falsafah Pendidikan tidaklah dayus.

**Prof. Madya Dr. Yasir Mohd Mustafah, Kulliyyah Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)