Tonton dulu, baru nilai : Z Lokman

Iklan
Z Lokman. - Foto FACEBOOK
PENGARAH filem veteran, Z Lokman meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir penonton masa kini yang membuat penilaian terhadap sesebuah filem menerusi trailer tanpa menonton filem itu terlebih dahulu.

Meluahkan rasa kecewa itu berikutan filem arahannya, Mahaguru tidak mendapat sambutan dan hanya ditayangkan seminggu di pawagam, Z Lokman atau nama sebenarnya Zulfakar Lokman, 73, berkata, penonton dahulu akan menilai sesebuah filem selepas menontonnya.

"Ketika baru naikkan trailer dan belum keluar di pawagam, orang dah bantai, kutuk.

"Zaman dulu, orang tengok filem dulu baru mereka kutuk. Bila dah ada yang bantai, yang lain pun ikut sekali.

"Secara tidak langsung saya lihat, yang boleh jatuh dan bangunkan filem kini adalah netizen," katanya.

Terbaharu, pengarah yang pernah mengarah enam filem berbahasa Tagalog dari Filipina akan mempertaruhkan filem bergenre komedi aksi, Awang Gerudi yang akan menemui penonton di pawagam bermula 27 Disember 2018.

Filem ini menggabungkan barisan pelakon muda dan pelakon berpengalaman seperti Zoey Rahman, Ika Nabila, Aprena Manrose, Mustapha Kamal, Abon, Accapan, Rashidah Jaafar dan Datuk T.S. Jeffry.