USM kemuka garis panduan, pelan tindakan Covid-19

Iklan
usm

GEORGETOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) mengeluarkan dokumen berkaitan garis panduan dan pelan tindakan bagi pandemik koronavirus (Covid-19) sekali gus menjadikannya universiti awam pertama negara dalam mengemukakan rangka kerja komprehensif berkaitan wabak itu.

USM menerusi kenyataan hari ini menyatakan dokumen bertajuk 'Response and Readiness Plan For Covid-19 Pandemic and Other Infectious Diseases Outbreaks' itu menyediakan garis panduan secara umum berkenaan kesediaan, respons dan komunikasi yang amat diperlukan bagi menangani pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Selain itu, ia juga menyediakan garis panduan penyakit berjangkit lain yang berkaitan isu kecemasan kesihatan awam dalam konteks universiti.

"Rangka kerja komprehensif itu adalah ke arah meminimumkan impak Covid-19 terhadap kesejahteraan sosial dan kesihatan para pelajar dan staf, dengan memberi penekanan kepada aspek kesihatan awam USM dan komuniti secara keseluruhan.

Iklan

"Idea itu telah dicetuskan Naib Canselor USM, Profesor Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan bersama pengurusan tinggi universiti dan direalisasikan melalui sepasukan petugas khas.

"Petugas itu dikoordinasikan Institut Penyelidikan Perubatan Molekul USM yang diketuai ahli epidemiologi daripada Jabatan Perubatan Komuniti, Pusat Pengajian Sains Perubatan Profesor Madya Dr Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad," katanya.

Iklan

Menurut kenyataan itu, penghasilan dokumen itu adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan yang diusahakan warga USM selain menyediakan makanan kepada mereka yang tinggal di luar kampus, sesi e-kaunseling dan penganjuran pelbagai aktiviti bermanfaat untuk pelajar mengisi masa lapang.

"Memandangkan dokumen yang dihasilkan itu adalah versi pertama, ia masih tertakluk kepada penambahbaikan dan USM sedang berusaha membuat penambahbaikan bagi memantapkan lagi kandungan versi seterusnya," katanya. - Bernama