SEHARI dua ini Malaysia famous betul. Nama Malaysia dikenali di seluruh dunia. Bukan sahaja di Amerika Syarikat dan United Kingdom tetapi juga di negara Asia.
Khabarnya dalam berita dan program larut malam (late night show) cerita pasal bercakap macam watak kartun Doraemon, nasihat agar wanita jangan berleter dan wanita patut pakai lipstik sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi bahan gelak ketawa.
Sebetulnya, bukan ini berita yang mahu kita viralkan pada dunia. Bukan Doraemon ala Malaysia. Sepatutnya pujian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tentang tindakan tegas kita mengawal wabak ini yang diberi perhatian. Tapi kadang-kadang oleh sebab silap kita perkara kecil jadi besar.
Bukanlah niat Awang nak cari salah menteri berkenaan. Mungkin beliau tak tahu apa yang dibuat oleh orang bawah. Tapi tanggungjawab akhirnya jatuh pada beliau. Oleh sebab itu, Awang selalu ingatkan pak dan mak menteri kita, fikir dulu masak-masak apa yang yang nak disampaikan pada rakyat. Kaji kesannya. Jangan ikut sedap mulut. Nanti bila rakyat tegur, nak salahkan media yang salah lapor.
Awang harap Pak Din PM kena kawal anak buahnya bercakap. Cukuplah Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap bagi pihak kerajaan. Datuk Dr Noor Hisham Abdullah boleh bercakap hal kesihatan.
Kalau banyak sangat nak kacau dodol, takut rosak semuanya.
Berikan keutamaan kepada KKM
MENURUT Tuk Dr Noor Hisham, ada masalah logistik penghantaran peralatan perlindungan diri (PPE) untuk petugas perubatan terutamanya untuk Sabah dan Sarawak.
Awang rasa hal itu perlu diutamakan. Awang ada tengok video petugas perubatan terpaksa buat sendiri peralatan perlindungan. Ini patut sangat dielakkan. Sudah tentu kerajaan dah ada peruntukan untuk dapatkan semua peralatan itu.
Kalau masalah penghantaran Awang rasa bagus sangatlah syarikat penerbangan macam MAS, Air Asia dan Malindo bantu dalam soal ini. Ini kerja kebajikan yang diperlukan segera. Anggaplah ini tanggungjawab korporat masa negara tengah susah.
Kita semua faham kes koronavirus (Covid-19) perlukan perhatian yang tersendiri. Macam hospital yang menerima pesakit Covid-19, bukan sahaja perlu kawalan dan kakitangan yang cekap dan dedikasi tapi banyak keperluan lain yang patut disediakan.
Awang tahu memang KKM akan pastikan semua itu tapi tindakan mesti pantas. Ada hospital yang bukan khusus untuk terima pesakit Covid-19. Tapi ada juga pesakit Covid-19 yang ada masalah jantung atau kanser, misalnya.
Apakah pihak Institut Jantung Negara dan Institut Kanser Negara ada keupayaan menerima mereka? Jikalau terima, bagaimana mereka akan ditempatkan? Apakah perlu wad khas? Itu baru dua contoh hospital khusus dalam dua jenis penyakit. Bagaimana yang lain? Memang semua ini memeningkan tapi tak boleh diabaikan.